Liberalisasi, Migrasi, Konflik Strategi dan Referendum Buat Najib, Taib Mahmud

SHAH ALAM, 17 MEI: Liberasasi politik dikenal pasti antara punca kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang berakhir semalam, kata Presiden Zentrum Future Studies Malaysia, Dr Hasan Hayastani.

Beliau menganggap literasi politik melalui media baru dan pengaruh perubahan politik di Semenanjung kian memberi kesan kepada perkembangan politik di Sabah dan Sarawak.

Dr Hassan berpendapat ia turut dibantu faktor migrasi di kalangan penduduk Sarawak yang bekerja di Semenanjung adalah antara penyumbang kepada suasana baru perkembangan politik Sarawak.

“Kemungkinan pengaruh perkembangan politik di Semenanjung mula masuk ke Sarawak dengan nyata, melalui keterbukaan media baru sekaligus pengaruh politik di Semenanjung.

"Liberalisasi telah membawa perubahan pemikiran kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Beliau juga menyifatkan BN terjerat dengan taktiknya sendiri apabila wujud konflik strategi hingga menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah kaum yang berasa terpinggir dalam pengagihan peruntukan pilihan raya kecil ini.

Dr Hassan menjadikan peratusan keluar mengundi yang rendah sebagai bukti.

“Kemungkinan ‘conflict strategy’ terjadi apabila banyak peruntukan diberi kepada kaum Cina. Ini mungkin mendatangkan pelbagai pertanyaan kepada kelompok lain terutama kelompok Melanau dan Iban," katanya.

Beliau menganggap kemenangan Wong Ho Leng didorong undi golongan muda lantaran rata-rata mereka memiliki tahap keterbukaan politik yang tinggi hingga menjadi faktor pemisah pada pilihan raya kecil ini.

“Peratus keluar pengundi kaum muda walaupun amat kecil tetapi memberi undi yang selamat kepada DAP pada saat-saat akhir,” katanya.

Dr Hassan menganggap kemenangan Pakatan Rakyat itu sebagai referendum penolakan rakyat Sarawak terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najid Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud.

Katanya, perkembangan terbaru ini menunjukkan angin perubahan di Sarawak semakin bertiup kencang menjelang pilihan raya Sarawak yang tempohnya bakal berakhir Julai 2011.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan