Lim Kit Siang mempersoalkan kelewatan SPR mengumumkan keputusan kiraan 2,571 undi pos

10.35malam: SPR dijangka mengumumkan keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu dalam tempoh 10 minit lagi.

10.15malam: Di Dewan Suarah, dua pemimpin SUPP sedang mengadakan pertemuan dengan pegawai pengurus pilihan raya, Wong See Meng. Difahamkan mereka sedang berbincang mengenai kelewatan pengumuman keputusan undi pos.

Mereka kemudian disertai oleh pemimpin DAP Ng Wei Aik, Lim Lip Eng dan Ronnie Liu.

Hujan masih turun di Sibu. Penyokong kedua belah pihak yang berpayung, sedang menunggu di luar Dewan Suarah.

10.10malam: Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof memberitahu Malaysiakinimelalui SMS bahawa Borang 15 bagi undi pos sedang dibawa ke pusat perjumlahan di Dewan Suarah.

"SPR sedang menunggu keputusan rasmi undi pos," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Omar Wan Omar berkata pihaknya akan memberi penjelasan mengenai kelewatan tersebut.

"Saya akan jelaskan selepas kami umum keputusannya sebentar lagi," katanya.

10.09malam: Semua pemimpin utama DAP sedang menunggu di Wisama Sanyan, tempat undi pos dikira.

Lim Guan Eng memberitahu
Malaysiakini bahawa beliau bimbang "sesuatu yang tak kena sedang berlaku" dan berharap pegawai SPR boleh mengeluarkan Borang 15 - dokumen yang mengesahkan keputusan rasmi undi pos.

Juga difahamkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pulang ke Kuala Lumpur.

9.50malam: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan kelewatan SPR mengumumkan keputusan kiraan 2,571 undi pos.

"Pengiraan undi pos bermula jam 5.30 petang dan selesai pada jam 8.30 malam."

Beliau bertanya mengapa berlaku kelewatan lebih satu jam untuk mengumumkan keputusannya.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan