Lompat: PAS panggil ADUN PKR, DAP beri penjelasan

PAS Kedah akan memanggil tiga exco kerajaan negeri dari PKR dan seorang ADUN DAP, untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan yang tersebar luar kononnya mereka akan melompat meninggalkan Pakatan Rakyat 22 Mei depan.

Mereka akan diminta memberi penjelasan dalam satu majlis ceramah anjuran PAS negeri - bertajuk "DUN Kedah Bubar?" - di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, jam 9 malam.

Setiausaha PAS negeri, Muhamad Yusof Husin berkata mereka diminta memberi penjelasan tersebut supaya rakyat tahu kedudukan sebenar mengenai desas desus yang mengaitkan nama mereka.

"Kita mengakui rakyat berada dalam kegelisahan dengan keadaan dan senario politik yang berlaku di negeri ini," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini petang semalam.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim akan turut hadir dan berucap di majlis tersebut.

"Menteri besar sendiri akan menjelaskan pendirian (kerajaan negeri) berhubung perkara ini dalam ceramah berkenaan," katanya.

Muhamad memberitahu demikian ketika diminta mengulas laporan di mana ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membayangkan peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak, akan berulang dalam waktu terdekat.

Kini, empat negeri dikuasai Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Pakatan Rakyat di Kedah menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN di mana PAS memperolehi 16 kerusi, PKR (3) dan DAP satu kerusi.

Manakala BN pula mempunyai 13 kerusi dan terdapat dua wakil rakyat Bebas. Manakala mahkamah mengiystiharkan kerusi Kota Siputih dan kini BN dalam prose membuat rayuan.

Diminta mengulas lanjut berhubung mengenai desas desus isu lompat di kalangan ADUN PAS termasuk exco PKR itu, Muhamad Yusof berkata tidak timbul wakil rakyat PAS untuk berbuat demikian.

Ini kerana, katanya yang juga seorang senator menjelaskan mereka masih setia dan berjanji dengan perjuangan parti.

"Cerita lompat-melompat ini kita dengar sejak tahun 2008 sampai sekarang... PAS bukan nak berlagak, kita rasa (exco PKR) yang ada sekarang ini, kita percaya. Sebab mereka semua exco negeri," katanya.

Menurutnya, PAS negeri juga tidak mahu kerajaan Pakatan di Kedah mengalami nasib berulang seperti di Perak.

"Biar kalah dalam pilihan raya (baru), dan kita terima keputusan. Biar mati dihujung pedang, mati kerana bertanding, berlawan (dalam pilihan raya) daripada kalah kerana (ADUN) lompat kerana diberi umpan," katanya.

Susulan itu, PAS Kedah telah mempunyai dengan alternatif dan strategi untuk mengelak peristiwa itu berlaku, tambahnya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan