Media baru roboh benteng kebebasan

Peranan media baru iaitu Internet telah mempengaruhi sebahagian masyarakat kita dalam menyampaikan pandangan dan maklumat berhubung perkara berbangkit.

Penulis blog, Datuk A Kadir Jasin berkata, kemunculan dan keterbukaan media baru memberi cabaran kepada media arus perdana dan perkembangan pembangunan negara.

“Peranan media baru memberi kesan apabila menampakkan perobohan kepada benteng kebebasan yang dahulunya dianggap menyekat kebebasan media, kini lebih terbuka dalam menyampaikan sesuatu maklumat.

“Mereka lebih bebas dan sukar dikawal sama ada daripada aspek undang-undang dan tekanan pihak tertentu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, media baru seperti blog, laman sosial ‘Facebook’, ‘Twitter’ dan portal berita adalah alternatif kepada masyarakat dalam mendapatkan maklumat yang tidak disiarkan media arus perdana.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada media arus perdana mengubah cara laporan supaya lebih terbuka dan tidak berat sebelah.

“Malahan mereka juga menjadikan media baru ini sebagi sumber rujukan untuk membuat laporan dan pengesahan maklumat yang dipaparkan,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya setiap media sedang mengalami proses perubahan yang ketara dan pantas dalam melaporkan maklumat dan pandangan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Komunikasi Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Dr Jeniri Amir berkata, pengamal media baru harus bersikap tanggungjawab dalam menyampaikan sesuatu isu kepada masyarakat.

“Namun, mereka tidak boleh menggunakan kebebasan tersebut dengan berani dan lantang sehingga menjejaskan masyarakat negara kita.

“Mereka perlu bertanggungjawab terhadap kebebasan yang dimiliki dengan mengambil kira pertimbangan sensitiviti setiap kaum supaya tidak menyentuh perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu membuat penyaringan secara bijak dan bertanggungjawab dalam membezakan maklumat yang tepat dan sebaliknya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Mohd Safar Hashim berkata, media baru adalah pantulan kepada media arus perdana.

“Media arus perdana sering dilihat terlalu mengawal maklumat dan kemunculan media baru memberi definisi baru kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan jelas," katanya.

-SinarHarian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan