Menyingkap Sidang Dun antara Si Pekak dan Si Bisu di Perak

Sidang Dun Perak pada 30 dan 31 Mac yang lalu, telah menimbulkan kontroversi apabila semua Adun Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan. Ada banyak isu yang dibantah mereka. Speaker haram, Genesan bagaikan sengaja tidak profesional untuk melangsungkan sidang, bagi memenuhi tuntutan Undang-udang Tubuh Kerajaan Perak. Ia tak ubah sebagai gimik melepas batuk ditangga. Ikuti interbiu JOHARI JAAFAR menitip kupasan Speaker Dun Perak yang sah, V Sivakumar berkenaan isu ini.

Boleh cerita sedikit apa yang berlaku pada sidang DUN 30 DAN 31 Mac yang baru lalu?

V. SIVAKUMAR: Persidangan Dun pada 30 Mac itu, pembukaan rasmi sidang bagi penggal baru yang telah dirasmikan Raja Muda Perak. Pada keesokan hari kita mengadakan persidangan. Apa yang terjadi pada persidangan itu? Pada 30 Mac memang tidak ada apa berlaku. Tetapi 31 Mac, timbul beberapa masalah. Persidangan agak kecoh dan kami (Adun-Adun Pakatan Rakyat) terpaksa bertindak keluar dewan dan ini disifatkan sebagai kebudak- budakan oleh media massa arus perdana dengan menggelapkan apa yang berlaku sebenarnya.

Media berat sebelah atau tak dapat gambaran jelas?

Saya tidak salahkan media kerana mereka tidak diletakkan di dalam dewan seperti biasa. Mereka ditempatkan dalam bilik pemerhati yang bercermin gelap dan kalis bunyi. Mereka tak dapat dengar apa yang kami timbulkan dalam persidangan itu hingga akhirnya kami bertindak keluar dewan. Mereka hanya dapat lihat gelagat kami. Sebab itu saya tidak menyalahkan media massa. Pada 1 April semua media buat laporan yang berbeza sebab mereka tidak mengetahui perkara sebenarnya. Oleh kerana itulah saya hendak jelaskan mengapa Adun-Adun Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan.

Tentu ada sebab yang asas terhadap tindakan itu?

Pertama berkaitan dengan peraturan-peraturan dewan. Kita tahu Kerajaan BN Perak tidak menghormati undang-undang bermula dengan insiden yang berlaku pada tahun 2009. Mereka tak mahu hormati undang-undang dalam dewan. Tak hormati perintah tetap. Adun-Adun BN tak hormati perintah yang saya buat iaitu menggantung Zambry Abdul Kadir dan Exco-exconya. Akibat dari itu, berlaku apa yang berlaku pada sidang Dun 7 Mei. Mereka bawa polis ke dalam dewan dan mengheretkan Speaker keluar dewan. Ini semua disebabkan BN tidak lagi hormat perintah-perintah tetap dewan. BN mahu mengekalkan kuasa mereka sahaja.

Difahamkan kekecohan itu bermula bila Adun Pantai Remis bangun dan menyatakan 'point of order', tetapi Ganesan tidak menghiraukannya...

Ya! Mula tercetus apabila Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming bangun dan menunjukkan buku Perintah-Perintah Tetap dan menyatakan 'point of order'. Bila seorang Adun bangun sambil menunjukkan buku Perintah-Perintah Tetap dan menyatakan 'point of order' adalah suatu kewajipan bagi semua Adun-Adun memberi ruang kepada beliau untuk membawa 'point of order' itu.

Dia nak beritahu apa masalahnya. Ini adalah amalan yang diguna pakai di dalam semua Dun dan Dewan Rakyat. Terpulanglah kepada speaker untuk menerima atau menolak apa yang dibawa oleh Adun tersebut. Malangnya, orang yang menggelar dirinya sebagai speaker, Dato R Ganesan ini, tidak arif tentang perkara tersebut atau sengaja tidak mahu memberikan ruang atau dia ikut arahan dari pihak lain. Genesan tidak mahu dengar 'point of order' tersebut dan beliau meneruskan dengan agenda dengan membaca perkara-perkara yang seterusnya. Ini seolah-olah dia sengaja menolak apa yang Adun nak bawa.

Apa terjadi selepas itu?

Semua Adun Pakatan Rakyat bangun dan bantah supaya diberi ruang kepada Nga Kor Ming untuk memberitahu 'point of order'nya. Tetapi bantahan kami tak dipedulikan. Perkara kedua berkaitan dengan perbahasan. Kami dapat lihat dalam agenda pada hari itu, mereka bercadang untuk membuat perbahasan hanya untuk tempoh satu hari. Sebabnya ada ucapan penangguhan diakhir agenda. Pada hari itu juga berlakunya perlantikan tiga jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatannkuasa Kira-Kira dan Jawatankuasa Peintah-Perintah Tetap.

Biasanya, jawatankuasa ini dibuat pada hari yang terakhir. Kalau ianya dibuat pada 31 Mac, maksudnya itulah hari yang terakhir. Kami dapat tahu mereka tangguhkan persidangan untuk tempoh satu hari. Jadi, kami bantah supaya persidangan ini dilanjutkan untuk lima hari bagi beri ruang kepada 59 orang Adun bahaskan isu politik atau masalah setempat masing-masing. Malangnya mereka tak beri ruang kepada Adun-Adun ini.

Kita harus ingat, bahawa rakyat memilih seorang wakil melalui pilihan raya supaya wakil ini membawa suara rakyat ke dewan. Wakil rakyat dapat membawa masalah setempat supaya masalah penduduk itu dapat diselesaikan. Tetapi, bila adanya halangan kepada wakil rakyat untuk membawa isu ini ke dewan, ia suatu yang tidak disenangi bukan sahaja oleh Adun Pakatan Rakyat tetapi saya rasa rakyat juga tidak akan menyenangi perkara tersebut.

Apa motif BN bertindak begitu?

Saya pasti kerajaan BN tak berani hadapi perbahasan. Mereka takut kami akan membongkarkan beberapa perkara berkait dengan pentadbiran BN sepanjang tempoh satu tahun. Mereka cari jalan pendek untuk menyingkatkan tempoh perbahasan satu hari sahaja. Kita lihat ada perkara ganjil yang dibuat antara agenda-agenda lain ialah pertama, sesi soal jawab. Kedua, mereka membuat dan melulus rang-rang undang-undang. Ketiga, mereka membuat perbahasan. Keempat, mereka melantik jawatankuasa-jawatankuasa dan semua perkara ini dibuat dalam tempoh satu hari.

Sekiranya semua agenda ini dibuat dalam tempoh satu hari sahaja, berapa ramaikah Adun-Adun diberi peluang untuk berucap. Berbanding dengan tahun 2008 dahulu, semasa saya duduk di atas kerusi speaker, saya beri peluang MB berucap selama 2 jam bahaskan titah ucapan Tuanku Sultan. Ketua Pembangkang iaitu Dato' Seri Tajol Rosli saya beri 2 jam juga untuk berucap dan semua Adun lain, saya beri ruang untuk berucap sekurang-kurangnya 20 minit.

Pernah juga saya buat persidangan bermula jam 10 pagi sehingga 7 petang untuk beri peluang kepada semua Adun ambil bahagian. Sebabnya rakyat telah memilih mereka untuk bercakap dalam dewan. Perkara ini adalah wajib. Tetapi di bawah kerajaan BN ini, mereka cuba lari dari tanggung jawab sebab mereka takut hadapi soal jawab di dewan. Ini merupakan satu lagi sebab mengapa kami bertindak keluar dari dewan tersebut.

Soalan-soalan dari Adun Pakatan Rakyat juga turut ditolak?

Berkaitan dengan soalan-soalan lisan dan soalan-soalan bertulis, semua Adun Pakatan telah mengemukakannya kepada saya dan saya serahkan ke pejabat Setiausaha Dun pada 15 Mac. Menurut Peraturan Perintah-Perintah Tetap 22(2) menyatakan soalan-soalan bertulis dan soalan lisan harus diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Dun dalam tempoh 14 hari sebelum Dun bersidang.

Syaratnya begitu mudah. Kami telah ikut seperti terkandung dalam Perintah-perintah Tetap. Tidak ada sebab untuk Ganesan menolak soalan-soalan tersebut. Tetapi, beberapa hari sebelum Dun bersidang, Ganesan berkata dia akan menolak soalan-soalan dari 27 Adun Pakatan Rakyat dengan alasan ianya telah diserahkan kepada saya dan saya telah menyerahkan soalan-soalan kepada Setiausaha Dun.
Saya tidak nampak dalam peruntukan undang-undang perkara itu salah. Kalau posman pun menyerahkan soalan-soalan itu kepada Pejabat Setiausaha Dun dalam tempoh seperti mana yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Tetap, ianya harus diterima dan harus di jawab. Jadi, ia tidak menjadi satu halangan tetapi beliau mengunakan ini satu helah untuk menolak soalan-solan tersebut dan perkara yang sama juga diulangi oleh beliau dalam sidang Dun pada hari itu. Dia tetap menolak kesemua soalan-soalan yang dikemukakan. Ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa. Walaupun Adun Pakatan tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker tetapi beliau telah bertindak di luar bidang kuasanya untuk menolak soalan-soalan yang dikemukakan oleh Adun.

Barangkali soalan dari 27 Adun Pakatan itu berupa satu perangkap kepada BN?

Saya juga melihat ini adalah angkara BN yang tidak berani menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat. Sebab soalan-soalan itu adalah yang bernas, mempunyai nilai kepentingan rakyat. Jadi mereka tidak mahu menjawab soalan-soalan tersebut. Sebenarnya, BN takut menjawab soalan-soalan itu. Mungkin mereka akan teperangkap apabila mereka menjawab soalan-soalan tersebut jadi mereka cuba melarikan diri. Ini menunjukkan sifat kerajaan BN yang tidak profesional.

Mengapa sesi soal jawab terlalu singkat?

Satu lagi sebab kenapa kami keluar dewan. Masa sesi soal jawab soalan-soalan lisan juga telah disingkatkan. Pada tahun 2008, ketika saya menjadi speaker, saya membenarkan masa satu setengah jam sebab ini adalah satu perkara penting. Tetapi, kali ini masa itu telah disingkatkan kurang dari 40 minit. BN cuba mempermainkan sidang Dun. Semua perkara-perkara ini, nampak jelas tindakkan mereka itu satu penghinaan kepada dewan kerana mereka tidak menganggap persidangan itu satu yang serius.

Benarkah alat pembesar suara di bahagian pembangkang ditutup?

Alat pembesar suara kami di bahagian pembangkang telah dipadamkan semuanya. Jadi, suara kami tidak kedengaran dalam dewan. Kami terpaksa menjerit untuk menyampaikan hasrat. Perkara ini tidak ada manfaat langsung sebab apa sahaja yang kami sebutkan dalam dewan pada hari itu tidak dirakamkan dalam handsart. Handsart hanya merakamkan menerusi alat pembesar suara apabila alat itu dipadam, apa yang dicakapkan oleh kami tidak akan dicatatkan dalam handsart tadi. Apabila kita membaca handsart pada 31 Mac berikutnya, bagaikan Pakatan Rakyat tak wujud di dalam dewan itu, yang wujud hanya BN sahaja.

Adakah ini usaha BN untuk menggelapkan sesuatu dari tercatat dalam handsart?

Ini sesuatu yang memalukan. Pada masa akan datang apabila ada orang membaca handsart tersebut, mereka akan terasa mual kenapa pada 31 Mac 2010, semua Adun Pakatan tak bercakap langsung di dalam dewan. Ini kerana handsart adalah sejarah yang harus disimpan untuk berpuluh-puluh tahun. Ia betul-betul mencalarkan demokrasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan