Najib Perlu dedah perjanjian pindah stesen KTM Tanjong Pagar

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung keputusan Malaysia bersetuju memindahkan stesen KTM Berhad di Tanjong Pagar ke Woodlands, Singapura menjelang 1 Julai 2011.

Anwar (gambar) yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen menegaskan negara tidak boleh menerima perjanjian secara “diam-diam dan berahsia”.

“Ini yang menjadi keprihatinan kita sekarang,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Di bawah persetujuan itu Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di Woodlands.

Keputusan itu dicapai pada pertemuan Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Singapura semalam.

“Kita ada Brunei, minyak... meskipun ia awalnya dipersetujui oleh Perdana Menteri Tun Abdullah tetapi kemudian Najib membolehkannya dengan (persetujuan) Kabinet. Kita ada Singapura (sekarang), walaupun adalah sesuatu yang menggalakkan (kerana) kita ada melihat kemajuan besar dalam perundingan dengan Singapura, ini adalah kepentingan ekonomi dan nasional yang utama, dan saya merasakan beliau (Najib) mesti datang dengan butiran mendalam dan jelas mengenai kandungan perjanjian (ini),” kata Anwar.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas persetujuan antara Malaysia dan Singapura yang diumumkan semalam.

Najib dan Lee berkata tanah yang akan dikosongkan itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan sebelum 31 Dis tahun ini.

Sementara itu dalam kenyataan dikeluarkan kemudian, Anwar berkata, kerjasama dan hubungan diplomatik yang baik di antara Malaysia dengan Singapura merupakan satu keutamaan.

“Kita hargai kepentingan hubungan antara kedua negara ini terutamanya menyangkuti bidang ekonomi dan pelaburan serta usaha berterusan bagi menyelesaikan isu berbangkit.

“Namun demikian kita bertegas penyelesaian itu harus didasarkan kepada prinsip ketelusan terutamanya apabila ia membabitkan kepentingan nasional dan khazanah negara,” katanya.

Anwar yang juga Penasihat PKR memberitahu, difahamkan bahawa isu tanah milik KTMB yang selama ini menjadi pertikaian di antara Malaysia dan Singapura telah diselesaikan semalam.

“Penyelesaian yang kononnya dikenali sebagai “Penyelesaian Muktamad” agak mengejutkan kerana setahu saya beberapa persoalan berkaitan kepentingan negara di negara jiran itu adalah lebih rumit dan harus ditangani dengan bijak serta teliti,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan ini menambah, Najib kelihatan mengakibatkan beberapa kepentingan negara stesen kereta api Tanjung Pagar, beberapa keping tanah di Kranji, Woodlands, Tanjung Pagar serta Lot 76-2 mk 16, Lot 249 Mk 4 dan Lot 32-10 Mk 16 dipercayai merugikan.

“Kita gusar kerana persefahaman yang dipersetujui Perdana Menteri itu dibuat serta diumumkan dengan tergesa-gesa tanpa memberi maklumat terperinci sedangkan persoalan ini membabitkan isu kedaulatan dan kepentingan negara.

“Ini bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri dan kerajaan sebelum ini,” kata Anwar lagi.

Sungguhpun dinyatakan tanah-tanah tersebut akan diamanahkan kepada sebuah syarikat yang bernama M-S Pte Ltd di mana Khazanah memiliki 60 peratus dari kepentingannya, Anwar menambah, dari kenyataan tersebut terdapat kemungkinan besar kepentingan-kepentingan terbabit akan ditukarkan dengan tanah di kawasan yang lain.

“Kita curiga nilai tanah yang ditukarkan itu sama ada di Marina South dan atau Ophor Rochir, tidak menandingi nilai tanah milik KTMB itu.

“Apa yang lebih membimbangkan pembabitan Khazanah hanyalah sebagai alasan untuk meletakkan kepentingan syarikat kroni,” kata beliau.

Sehubungan itu tegas beliau, kebijaksanaan keputusan Kerajaan Malaysia perlu dipersoalkan kerana sebarang pembangunan yang bakal dilaksanakan nanti pastinya tidak berupaya menjana kegiatan ekonomi domestik.

“Berapa ramaikan para pengusaha, kontraktor mahupun pembekal Malaysia yang bakal terlibat dengan pembangunan usaha sama Syarikat M-S Pte Ltd itu?

“Kita juga menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib untuk segera menjelaskan secara terperinci maksud sebenar bahawa Points of Agreement (POA) di antara Kerajaan Singapura dan Malaysia boleh ditambahkan dengan terma serta syarat baru kononnya untuk memaksimumkan potensi tanah-tanah tersebut di Singapura.

“Kita juga mahukan penjelasan sama ada Datuk Seri Najib menggunakan POA 1990 yang digariskan Tun Daim Zainuddin, menteri kewangan ketika itu sedangkan ia tidak mendapat persetujuan Kabinet,” katanya.

Selain itu jelas Anwar, kerajaan sewajarnya menjelaskan apakah kedudukan sebenar isu air serta wujudnya penyemakan semula harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura.

“Kita menggesa Datuk Seri Najib untuk membentangkan kertas laporan di sidang Parlimen pada bulan Jun ini,” katanya lagi.

-Malasianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan