Orang Cina Tidak Undi Bn Kerana MCA Atau …..

IZMAS

DALAM satu wawancara rengkas sebuah stesen TV swasta dengan beberapa pengundi Cina di Kuala Kubu Baru sempena pilihan raya kecil Hulu Langat yang lalu, lebih 90 peratus mereka berkata, mereka berpuashati dengan kehadiran Ahli Parlimen (AP) berbangsa Cina dari DAP dan PKR seperti Tony Phua, Theresa Kwok, Ronnei Liew dan beberapa pemimpin lagi di kalangan yang faham tentang tuntutan dan kehendak mereka

Menurut mereka, pemimpin MCA atau Gerakan mengikut telunjuk kerajaan dan tidak berani bersuara memihak tuntutan mereka khususnya dalam bidang ekonomi, pelajaran, biasiswa, bahasa dan budaya. Mereka sedar dan berharap kehadiran AP Cina dari Pakatan di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen boleh merealisasikan kehendak mereka yang selama ini tersekat dan tidak dapat dipamirkan dalam kerajaan yang dikuasai lebih dua pertiga ahli BN.

Dengan penguasaan mereka di Pulau Pinang dan Selangor (Perak sudah terlepas dari tangan Pakatan), banyak agenda selama ini yang tidak dapat dibangkitkan sudah diketengahkan termasuk isu yang sensitif dan menyentuh sentimen orang Melayu serta melanggar peruntukan Perlembagaan. Jika di zaman penguasaan BN, isu bahasa, sekolah SJKC, pembelajaran matematik dalam bahasa Inggeris, hak istimewa bumiputra, pembelaan peniaga kaum Cina, kebanjiran pegawai Melayu dalam perkhidmatan awam dan beberapa isu lain tidak ditonjolkan secara terbuka. Kini isu-isu itu dibangkit, didedah dan dibahas secara terbuka lagi berani oleh Ahli Dun dan AP Cina dari Pakatan yang kadangkala menghiris hati orang Melayu.

AP MCA atau Gerakan tidak berani menonjolkan isu-isu itu kerana mereka berada dalam BN yang menghalang mereka secara sedar bersuara lantang atau mempersoal dasar kerajaan yang sensitif dan tidak memihak kaum mereka. Dengan perkataan mudah, orang Cina kini sudah mempunyai ruang terbuka selepas kehadiran kalangan pemimpin yang berani membela hak dan tuntutan asas mereka yang selama ini gagal dibangkitakn oleh pemimpin MCA dan Gerakan.

Ini semua bermula akibat tsunami politik 2008 lalu di mana BN kalah teruk dan 5 negeri (termasuk Perak yang sudah kembali kepada BN) memberi kemenangan besar yang belum berlaku dalam sejarah politik negara. Pakatan di bawah bendera PKR, PAS dan DAP menang besar menewaskan dengan teruk calon-calon MCA, Gerakan, MIC, PPP dan segelintir pemimpin Umno bertaraf menteri. Undi kaum Cina dan India ketara memihak Pakatan dan sebilangan besar undi Melayu juga menyebelah calon PAS atau PKR. MCA dan MIC kehilangan besar calon-calon mereka termasuk menteri kepada calon bukan Melayu DAP dan PKR sekaligus memberi mesej kebangkitan undi kaum bukan Melayu khususnya kaum Cina yang menolak calon BN dari MCA dan Gerakan.

Kemenangan drastik dan tidak terduga itu memberi nafas baru dan petunjuk bahawa mereka sudah ada wakil pemimpin kaum mereka di Dun dan Palimen berkesan dan berwibawa yang boleh membela tuntutan dan hasrat terpendam mereka selama ini. Tidak seperti pemimpin MCA dan Gerakan yang didakwa tunduk kepada Umno dan dasar BN, pemimpin Pakatan bukan Melayu berani membangkitan isu-isu asas tuntutan asas mereka kerana sudah berkuasa khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan pada waktu sama mendapat restu dari rakan pemimpin Melayu khasnya dari PKR.

Dengan situasi yang sudah berlaku itu dan sentimen kuat kaum Cina kepada Pakatan, adalah sukar dalam waktu terdekat bagi MCA atau Gerakan menarik semula hati dan memanggil semula undi kaum Cina yang sudah beralih arah menyokong Pakatan. Jika tiada usaha gigih dan dasar konkrit BN yang benar-banar memikat hati mereka, kecenderungan itu bakal berterusan sehingga pilihan raya ke-13 yang bakal membimbangkan Najib dan pemimpin MCA serta Gerakan.

Pemimpin MCA dipersalahkan kerana mendahulukan kepentingan diri melebihi perjuangan parti. Krisis dalaman MCA yang berlaku menunjukkan wujudnya perebutan jawatan di kalangan ketua mereka untuk melangsungakan agenda diri dan kumpulannya sendiri mengatasi kehendak masyarakat Cina yang dahagakan pembelaan mereka. Orang Cina menganggap pemimpin Cina dari Pakatan lebih ikhlas berjuang membela kepentingan mereka tanpa mengharap jawatan atau pangkat dalam parti.

Gagasan 1Malaysia PM Najib kelihatan sudah diterima baik oleh orang Melayu dan India tetapi belum meresap dalam minda dan hati orang Cina seperti yang terbukti dalam keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor baru lalu. Dr Chua Soi Lek dan Dr Kho Tsu Koon mungkin sedar kaum Cina kini sudah ada pilihan lain selain parti mereka dan yakin serta percaya kepada keberanian pemimpin Pakatan membela hak mereka lebih dari pemimpin MCA dan Gerakan.

Keyakinan dan kepercayaan itu mungkin sukar diguggat kecuali persepakatan pemimpin dalam Pakatan bermasalah - bergolak sama sendiri, tidak merealisasikan janji pilihan raya yang dibuat, gagal memerintah negeri dengan berkesan - yang boleh mengurangkan kepercayaan orang Cina kepada mereka. Dan sekiranya Najib dapat membuktikan dasar keraajaan serta gagasan 1Malaysianya benar-benar menjaga kepentingan semua kaum termasuk kaum Cina secara adil, saksama dan telus, mereka mungkin boleh bertukar haluan menyokong BN. Orang Cina bijak menentukan undi mereka berdasarkan isu-isu kritikal dan relevan, bukan sentimen melulu seperti kaum lain.

Mereka boleh memberi kemenangan kepada mana parti yang boleh merealisasikan tuntutan dan impian mereka khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan seperti yang berlaku dalam PRU tahun 1998 dan 2004 lalu di mana mereka menyokong parti yang memerintah. Kaum Cina lazimnya mahukan kehidupan yang selesa, situasi ekonomi negara yang mantap, banyaknya peluang pekerjaan dan ruang ekonomi yang selesa dan terjamin bagi mereka menjalankan perniagaan.

Kehadiran ramai AP kaum mereka dari DAP dan PKR yang lantang bersuara menyebabkan permintaan kaum Cina dikatakan semakin banyak, rumit dan tidak tertumpu kepada soal ekonomi semata. Mereka kini berani menuntut hak lain yang amat mencabar seperti keadilan dalam semua bidang khusunya pendidikan, biasiswa, agama, budaya, pekerjaan dan bermacam lagi. Adakah ini semua dapat direalisasikan oleh PM Najib, pemimpin MCA dan Gerakan sebelum PRU ke-13 nanti?

Namun, pemimpin Cina DAP dan PKR juga tidak boleh yakin seratus peratus bahawa mereka boleh terus mendapat sokongan dari pengundi Cina jika mereka gagal memerintah dengan berkesan di negeri yang diperintah dan melaksanakan program ekonomi yang boleh membela hak dan kepentingan rakyat gulungan miskin dan sederhana. Kemelut dan kekusutan politik dalaman yang terus berlaku di kalangan rakan pemimpin Melayu dalam Pakatan boleh mengurangkan keyakinan rakyat kepada kebolehan gabungan parti itu untuk memerintah sekaligus berganding bahu dalam menghadapi agenda pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan