Penangan Pakistan: Suri rumah mengaku khalwat

MELAKA: Seorang suri rumah yang ditangkap berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Tun Perak, dekat sini, bersama seorang peniaga bingkai kayu warga Pakistan pada 12 Mei lalu dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Hakim Syarie Mohd Asri Tahir menjatuhkan hukuman terhadap wanita berusia 39 tahun itu selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman dengan lelaki bukan mahram hingga mendatangkan syak.

Mengikut pertuduhan, wanita berasal dari Jasin itu dituduh berkurung hingga mendatangkan syak dengan Habib Ur Rahman, 39, di bilik No 133, Hotel Yong An, Jalan Tun Perak, Bachang, dekat sini kira-kira jam 10.55 pagi pada 12 Mei lalu.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 24 bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Mohd Asri dalam penghakimannya turut menasihati tertuduh dengan menjelaskan sebagai seorang isteri yang masih mempunyai suami sewajarnya menjaga adab dan tatasusila.

Katanya, tertuduh perlu bertaubat kerana perbuatannya yang menderhaka dan curang kepada suaminya bercanggah dengan hukum syarak.

Sebelum ini, ketika didakwa kali pertama pada 13 Mei lalu, tertuduh mengaku bersalah, namun selepas fakta kes dibacakan dan mahkamah bersedia memberikan hukumannya selepas menimbangkan rayuannya serta hujah pendakwa, tertuduh tiba-tiba pengsan di kandang pesalah.

Berikutan itu, hakim menangguhkan semalam untuk memberikan hukumannya.

Sementara itu, pada prosiding semalam tertuduh sekali lagi merayu hukuman ringan atas alasan tidak mampu membayar denda tinggi selain turut mempunyai anak yang masih kecil. Dia yang memakai baju kurung hijau dan bertudung hitam kelihatan tenang memberitahu mahkamah bahawa suaminya berpendapatan rendah, manakala dirinya pula tidak berkerja.

Pegawai Pendakwa Syarie, Che Zam Zam Che Man bagaimanapun berhujah bahawa kesalahan dilakukan tertuduh adalah dosa besar dan salah di sisi syarak serta berlaku di sebuah hotel

Katanya, sebagai seorang isteri, wanita terbabit tidak sewajarnya melakukan perbuatan terkutuk itu dan perlu mentaati perintah agama.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Mahkamah Syariah sambil ditemani ahli keluarganya.

Sementara itu, pada 13 Mei lalu mahkamah sama mendenda Habib Ur Rahman sebanyak RM2,500 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan wanita terbabit.

Dia yang sudah berkeluarga turut dihukum penjara 24 bulan dan denda RM10,000 pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen atas kesalahan cuba memberi rasuah seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jaim), Zulkifli Zainal supaya dilepaskan atas kesalahan berkhalwat itu.
-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan