Pengawal keselamatan Istana Kelantan ditembak koma, kata isteri

Mohd Zuharman

KOTA BARU, 2 Mei: Pengawal keselamatan Istana Diraja Kelantan, Ramli Mohd yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini sejak semalam berada dalam keadaan koma.

Isterinya, Maznah Mustapha berkata keadaan suaminya ketika ditemui di hospital hari ini.

“Koma,” katanya menahan sebak.

“Saya pun tak tahu bagaimana hendak cerita, pihak hospital belum buat pembedahan lagi.

“Mereka (pihak hospital) hendak tengok, apa... ni, kaji dulu keadaannya dari beberapa aspek sebelum pembedahan dibuat.

“Mungkin mereka juga perlu berhati-hati dengan sebarang kemungkinan kesan atau risiko.

“Masalah peluru yang masih belum terbuang itu, tak tahulah pula saya kerana belum dibedah,” katanya sugul.

Dalam kejadian pukul 12.25 tengah malam kelmarin, Ismail, 50, yang menunggang sendirian ditembak dari jarak dekat oleh orang yang tidak dikenali, di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat kira-kira tiga kilometer darinya.

Mangsa yang cedera di dada dihantar ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke Hoaspital Raja Perempuan Zainab II kerana didapati serius. Sehingga hari ini polis belum membuat sebarang kenyataan berhubung insiden itu.

Dia yang bertugas sebagai pengawal keselamatan Istana Diraja Kelantan sejak 17 tahun lalu secara kontrak merupakan bekas seorang anggota tentera.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Yahya Petra hari ini menziarah Ramli.

Tengku Muhammad Faris yang memandu sendiri keretanya memakai jubah putih tiba kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi pengawal keselamatan dan disambut oleh pegawai-pegawai kanan hospital itu.

Baginda berada kira-kira setengah jam untuk mengetahui keadaan kesihatan pengawal itu yang dijangka akan menjalankan pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang terbenam di dadanya.

Semalam baginda mengarahkan polis membuat siasatan segera kes itu bagi mengetahui punca sebenar kejadian yang dianggap serius dan perlu diketahui.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan