Saiful dakwa diugut lagi, buat laporan polis

Saksi utama dan pengadu dalam kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim - Mohd Saiful Bukhari Azlan - mendakwa menerima pesanan berunsur ugutan daripada seorang individu yang tidak dikenali.

Justeru, petang semalam, dia tampil membuat aduan di balai polis Sentul di ibu negara petang semalam kerana "bimbangkan keselamatan diri dan dan keluarganya".

Salinan laporan tersebut dimuatkan kembali dalam blog peribadinya pada hari yang sama.

Dalam aduannya, Saiful berkata, setelah pulang daripada memberikan keterangan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, beliau menyedari terdapat pesanan di laman sosial
Facebook daripada individu yang hanya dikenali sebagai "Badrul Hisham".

Menurutnya, pesanan berjudul "Dah bersediahkah anda" itu berbunyi:

"De... Wa nak tanya lu, lu pasti ke lu boleh hidup esok... Jangan aibkan orang, monyet pun jangan."

Sehubungan itu, menurut Saiful, pesanan itu merupakan satu ancaman serius terhadap dirinya.

"Saya pasti
message (pesanan) ini mungkin dihantar disebabkan ketidakpuasan hati, ekoran keterangan-keterangan yang telah saya berikan dalam mahkamah mengenai pertuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berlangsung," laporan polisnya dipetik.

Dalam aduannya itu juga, Saiful berkata, pesanan itu merupakan ugutan kedua yang diterimanya sepanjang perbicaraan kesnya yang bermula daripada Februari lalu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan