Samy Vellu: Palanivel akan ambil alih MIC

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata timbalannya Datuk G Palanivel akan menggantikan beliau apabila beliau berundur "sebelum atau pada" September tahun depan.

Samy Vellu berkata Naib Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia akan dinamakan sebagai timbalan presiden parti yang baru, manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk SK Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M Saravanan sebagai naib presiden parti.

"Beliau (Palanivel) akan menjadi pemangku presiden MIC apabila saya berundur, beliau ada sembilan bulan untuk jalankan tugas sebagai pemangku presiden, ada banyak peluang untuk pergi ke negeri-negeri dan kenal dengan pemimpin negeri, dengan itu beliau boleh jadi popular," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual oleh pengantara, Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Datuk Ahmad Talib dalam program 'Soal Jawab' di TV3 di Petaling Jaya, malam semalam.

Samy berkata Palanivel (dua dari kiri) yang baru dilantik sebagai senator baru-baru ini mempunyai masa untuk menyesuaikan diri dengan tugas dan tanggungjawab sebagai presiden sehinggalah pemilihan presiden pada Mac 2012.

"Perlembagaan MIC lain dari parti lain, selepas tempoh tiga tahun sebagai presiden selesai, maka secara automatik kerusi presiden kosong dan mesti adakan pertandingan untuk memilih orang baru," katanya.

Ketika ditanya sama ada Palanivel mampu menerajui parti seperti yang beliau lakukan sejak 31 tahun lalu, Samy Vellu berkata beliau yakin Palanivel berupaya berbuat demikian.

"Beliau boleh buat, dia mempunya pengalaman kerana pada masa dulu dia pernah jadi Setiausaha Akhbar di kementerian saya, jadi dia sudah tahu gambaran itu," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengkritik kepimpinan Palanivel selepas ini, beliau berkata: "Saya tidak mahu buka mulut saya, apabila seseorang sudah ambil alih tanggungjawab dia, bekas presiden tidak boleh cakap apa-apa, tapiakan beri nasihat".

Ditanya mengenai cubaan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda MIC V Mugilan (pertama dari kiri) yang dipecat untuk mendesak Samy Vellu supaya berundur menerusi Gerakan Anti Samy (GAS) Ahad ini, Samy Bellu berkata: "Kita lihat sejauh mana beliau boleh pergi."

"Biar mereka buat apa yang mereka mahu kerana beliau (Mugilan) bukan lagi di dalam MIC, niat buruknya tidak akan merugikan parti kerana -- it will be a mere show," katanya.

"Saya sudah dipilih secara demokrasi tanpa bertanding oleh ketua-ketua cawangan MIC pada 2009 untuk tempoh tiga tahun, penggal saya berakhir pada 21 Mei 2012, mereka melanggar perlembagaan parti dengan mempersoal proses demokrasi ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Samy Vellu mahu anaknya S Vell Paari mengambil alih tugasnya sebagai presiden, beliau menyifatkan bahawa pihak tersebut sebagai 'kurang faham'.

"Kalau saya mahu anak saya ambil alih, 20 tahun dulu saya dah panggil dia masuk MIC tapi saya tahan, parti lain pun semua ada anak dalam parti, kalau saya berfikir untuk jadikan anak saya sebagai presiden, saya fikir dia (desakan oleh pihak tertentu) kurang faham," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan Palanivel agar mempunyai hubungan yang rapat dengan rakyat serta sering turun padang bagi memahami masalah rakyat.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan