Sultan Sharafuddin Perlu Waspada Dengan Pengampu

Mohd Sayuti Omar
NASIHAT dan teguran ikhlas Sutan Selangor, Sultan Sharafuddin Idsris Shah agar parti politik tidak menggunakan masjid untuk tujuan politik (jahat) nampaknya sudah menjadi isu yang dipolemikkan. Teguran itu telah dibawa terlalu jauh untuk kepentingan politik satu-satu pihak.

Apakah ini melambangkan golongan politik kita (Melayu) sudah kekeringan modal atau bersikap macam ikan lampam, yang akan menerkam apa saja objek yang jatuh dari atas jemburan atau jambatan. Meskipun yang jatuh itu hanya bulu ayam atau ketulan busuk, mereka merebut dan mengomolnya sehingga terkoyak muncung?

Sepatutnya semua pihak tidak mudah cuba menari mengikut gendang sendiri dalam melihat titah ikhlas Sultan Selangor tempoh hari itu. Sebelum mereka memberi reaksi seharusnya melihat apakah maksud baginda sebenarnya. Mereka juga perlu menyedari apakah baiknya untuk mereka terus menyerang mana-mana pihak ekoran teguran itu. Dalam hal ini cubalah bercakap secara ikhlas dan jujur. Belajar jadi ikhlas dan orang benar sejenak.

Apa yang berlaku Sultan Selangor hanya memberi nasihat supaya tidak menggunakan masjid sebagai medan untuk politik (jahat). Rasanya semua orang kena setuju dengan saranan itu. Tetapi sebelum setuju haruslah difahami apakah bentuk politik yang dikatakan Sultan itu. Apakah bentuk politik yang tidak wajar dibawa masuk ke dalam masjid?

Kalau masjid itu membawa perpecahan, membawa kejahatan, membawa hasutan dan membawa manusia menjauh syurga, rasanya semua pihak kena setuju. Malahan orang yang berbuat demikian wajar dihumbankan ke dalam sungai Kelang.

Dalam hal ini apa yang penting semua pihak kena faham, apakah erti dan bentuk politik itu yang patut dihalang masuk ke dalam masjid itu. Sejauh manakah ia digunakan dan boleh memudaratkan umat. Saya rasa kalau masjid digunakan untuk berpolitik, selagi politik terkawal dengan baik dan membawa manusia menuju ke jalan Allah tidak ada masalah. Dalam hal ini kena perluaskan skop politik itu.

Di sinilah apa yang ditegas dan dipertahankan Tok Guru, Nik Abdul Aziz orang yang melarang agar politik tidak dibicarakan di masjid adalah peninggalan penjajah. Maksud kata-katanya itu bukan menyanggah kata-kata sultan. Sebaliknya beliau menjelaskan bagaimana dan kenapa penjajah tidak membenarkan masjid digunakan sebagai medan politik.

Penjajah arif masjid adalah gelanggang orang Islam dan Melayu. Di sinilah tempat orang Islam bermuzakarah, berbincang menyelesaikan masalah mereka. Muzakarah dan berbincang, inilah politik.

Penjajah faham, selagi ada gelanggang ini orang Melayu akan bersatu. Maka itu penjajah menghalangnya. Tindakan atau maksud inilah yang Nik Aziz nak ceritakan. Maksud penjajah yang melarang masjid untuk tujuan baik itulah menyebabkan Nik Aziz menyanggah.

Apakah cemarnya politik begitu? Pada saya menggunakan tempat awam untuk berpolitik jahat dan tidak bagi kebaikan umum bukan saja di masjid harus dilarang. Tetapi di dalam tandas juga ia perlu dilarang dan ditegur.

Maka untuk menegur ini, saya rasa baik dilakukan untuk semua tempat. Untuk pengetahuan, sekolah, sudah lama dijadikan gelanggang politik oleh pihak tertentu. Pejabat kerajaan dan syarikat GLC juga dijadikan sumber kekayaan atau lombong membantu politik tertentu.

Politik di sini lebih buruk dan hampak dari politik di masjid yang dimaksudkan sesetengah orang. Kenapa tidak ada larangan dan teguran bila tempat-tempat ini dijadikan medan politik?

Sultan atau Raja yang menjadi payung kepada bangsa Melayu juga perlu tegur dan menasihat supaya tempat-tempat awam dan badan-badan milik kerajaan tidak digunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya. Apakah medium awam itu boleh digunkana untuk mengilangkan isu-isu politik busuk bila ia dilakukan oleh parti pemerintah atau tepatnya UBN?

Dan mengenai pendirian Zaid Ibrahim untuk tidak memohon maaf kepada Sultan Selangor saya rasanya ia perlu disokong atau digali apakah alasannya. Tolollah Zaid kalau beliau memohon maaf ke atas sesuatu perbuatan yang tidak fatal kesalahannya. Tafsiran orang mengatakan dia biadap apabila cuba mempertikaikan kata-kata Sultan itu adalah ilusi orang-orang yang kecewa dan berjiwa kecil saja. Orang-orang ini adalah mereka yang cuba menjadikan sultan dan istana sebagai kuda tunggangan selepas mereka ketinggalan kereta api dan bas.

Mereka yang mengatakan Zaid biadap, sebenarnya mereka yang buta undang-undang dan sedia menterbalikkan undang-undang sekiranya mereka merasakan ada untung kepada mereka.
Mereka ini adalah sang pengampu. Bagi sang pengampu akan bertindak melakukan apa saja hatta menadah tahi orang lain dengan telapak tangannya. Zaid bukan jenis itu. Dia tidak akan sesekali mengatakan tahi itu sebagai wangi meskipun dia dibungkus dengan bunga.

Beliau juga arif terhadap sesuatu yang beliau perkatakan.

Apa gunakanya negara ini ada kanun kalau tindakan tidak mengikut kanun? Apakah kita mahu menjadi burung malas yang tidak pandai membuat sarang tetapi mahu juga bertelor di dalam sarang? Akhirnya telor entah ke mana pecah bersepah tanpa melahirkan zuriat.

Dalam hubungan sikap tegasnya menyokong kenyataan Nik Aziz itu – mempertahankan masjid boleh dijadikan medan politik, Zaid berpegang kepada kanun. Sebagai seorang pengamal undang-udang beliau tetap berpegang kepada undang-undang dalam keadaan apa saja.

Mereka yang mudah mengatakan Zaid biadap dan cuba membela sultan tanpa memahami erti dan mesej di sebalik itu adalah golongan pengiring raja-raja di zaman pubra. Mereka ini dapat dilihat dalam filem Melayu, tidak berbaju, berkaki awam dan membidik lembing 24 jam. Mereka akan sedia menjadikan diri mereka sebagai benteng untuk menyelamatkan raja hanya kerana untuk kepentingan mereka, tanpa memikirkan apakah kerja mereka itu memberi manfaat kepada mereka sewajarnya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan