Tembak Ketika Dikejar Polis Tanpa Seragam, Ibu Minta Siasat Kematian Anak

JOHOR BAHARU, 24 MEI: Seorang ibu hari ini meminta satu suruhanjaya bebas ditubuh bagi menyiasat kematian anaknya selepas ditembak polis atas alasan terlibat dengan jenayah ragut, 20 Oktober tahun lalu.

Sapiah Elah, 52, dari Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, berkata polis tidak memberi penjelasan dan melakukan siasatan terperinci mengenai kematian Mohd Afham Arin, 18, walaupun kejadian itu terjadi tujuh bulan lalu.
"Polis di balai Seri Alam cuba menipu saya dengan mengatakan anak saya masih hidup sedangkan Mohd Afham dia sudah meninggal dunia akibat ditembak polis pada awal pagi, 20 Oktober itu.

"Saya kesal kerana terpaksa menunggu lama untuk berjumpa Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan menuntut jenazah di Hospital Sultanah Aminah," katanya kepada pemberita pada pertemuan yang diatur Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Johor di sini, hari ini.

Sapiah mendakwa Mohd Afham, yang menunggang motosikal bersama pembonceng, Mohd Firdaus Marsani, 19, seorang anak yang baik dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Beliau meminta Kementerian Dalam Negeri memandang serius kejadian terbabit dan mengharapkan suruhanjaya yang ditubuhkan itu dapat membersihkan nama Mohd Afham yang didakwa polis sebagai terlibat dengan 25 kes samun.

Sementara itu, Mohd Firdaus turut menyangkal dakwaan polis yang mengatakan dia melibas pihak berkuasa dengan parang lalu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan atas alasan untuk mempertahankan diri.

Menceritakan kejadian itu, beliau berkata, dia bersama Mohd Afham dikejar tiga lelaki menaiki motosikal di kawasan Taman Johor Jaya selepas selesai menikmati makan malam.

Bimbang kerana ketiga-tiga lelaki itu berpakaian biasa dan tidak menunjukkan kad kuasa, Mohd Afham terus memecut motosikalnya menghala ke Pasir Gudang sambil dikejar mereka.
"Apabila tiba di selekoh berhampiran jambatan menuju ke Seri Alam, saya terdengar satu das tembakan dari arah belakang sebelum disusuli dua tembakan lain yang menyebabkan motosikal yang kami naiki terjatuh," katanya.
Beliau kemudian melarikan diri selepas motosikal yang dinaikinya terjatuh di dalam semak.

Kata Mohd Firdaus, dakwaan melibaskan parang adalah tidak benar sebaliknya kematian Mohd Afham, pelajar Kolej Komuniti Ledang dan sedang menjalani latihan amali di Larkin, di sini, adalah disebabkan kecuaian polis dalam menjalankan tindakan.

Katanya beliau sudah memberikan keterangan kepada polis mengenai kejadian itu pada Januari lalu tapi, namun, sehingga kini masih tidak menerima sebarang maklum balas dari pihak berkuasa.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan