Tengku Anis nafi halang panel doktor rawat Sultan

Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abd Hamid dikatakan tidak pernah menghalang panel doktor untuk merawat Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Menurut sahabat kepada anakanda ketiganya, Tengku Muhammad Fakhry yang juga Tengku Temenggong Kelantan “adalah satu pembohongan sekiranya ada sesiapa yang mengatakan bahawa Tuanku (Ismail) tidak dirawat oleh doktor pakar”.

Mohd Soberi Shafii – dalam blognya Yang kudengar dan kulihat hari ini berkata seorang pakar perubatan - yang mengawasi Tuanku Ismail selama 24 jam - berkata baginda dirawat oleh sekumpulan enam doktor.

Katanya, tidak munasabah sekiranya ada orang tidak mahu melihat Sultan Kelantan cepat sembuh sedangkan seluruh rakyat sentiasa berdoa bagi kesejahteraan baginda.

New Straits Times dalam laporan hari ini memetik Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai memohon kepada Raja Perempuan untuk membenarkan panel doktor untuk merawat Sultan Kelantan.

Katanya, Tengku Anis diberikan masa sehingga minggu itu untuk memenuhi permohonan tersebut atau menghadapi tindakan undang-undang yang tidak dijelaskannya.

Perkembangan itu menyaksikan kemelut istana berterusan dengan Tengku Anis masih enggan keluar dari wad diraja di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, tempat Sultan Kelantan dirawat.

Baginda difahamkam masih 'sangsi' terhadap Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris yang memangku tugas ayahandanya Tuanku Ismail Petra yang gering sejak tahun lalu.

Menurut sumber, Tengku Anis - yang sebelum ini terpaksa
tidur atas lantai di luar wad Diraja sebelum dibenarkan masuk – risau tidak dibenarkan lagi menemani Sultan Kelantan sekiranya keluar daripada bilik tersebut.

Wad itu kini difahamkam dikawal rapi oleh puluhan anggota polis.

Sementara itu, Tengku Fakhry pula dilaporkan hanya “tunggu dan lihat” perkembangan selanjutnya dalam pergolakan tersebut buat masa ini.

“Kemungkinan tiada apa-apa tindakan daripada Tengku Fakhry dalam tempoh sehari dua ini,” kata sumber yang rapat dengan kerabat istana itu hari ini.

Se
mentara itu, lebih ramai anggota keluarga diraja Kelantan menzahirkan perasaan dukacita terhadap polis yang didakwa menghalang mereka daripada menziarahi Tuanku Ismail.

Ayahanda saudara kepada baginda, Tengku Seri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah mendakwa pihak berkuasa juga bertindak kasar kepada kaum kerabat diraja yang didakwanya memohon kebenaran menziarah baginda secara baik.

Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini, memetik bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) itu juga mendakwa, isterinya Tengku Merjan Sultan Yahya Petra yang juga kekanda Sultan Kelantan tidak dibenarkan untuk menemui baginda.

Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad pada kenyataannya semalam berkata setakat ini belum ada rancangan
memindahkan Tuanku Ismail ke hospital lain termasuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Katanya lagi, tiada titah baru juga dikeluarkan oleh Tengku Faris.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan