Tidak dibenar lawat, isteri kedua Sultan Kelantan hampa lagi


Elia Suhana

KOTA BARU, 23 Mei: Elia Suhana Ahmad, isteri kedua Sultan Kelantan sekali lagi hampa apabila hasratnya untuk melawat terhalang, kali ini lebih malang apabila baginda sendiri dikatakan bertitah tidak membenarkan dia menghadap.

Elia Suhana dan peguamnya Fakhrul Azman Abu Hassan bersama beberapa rombongannya tiba di Istana Mahkota, Kubang Kerian kira-kira pukul 1 tengah hari tadi dan meninggalkan premis itu 30 minit kemudian apabila tidak dibenarkan masuk.

“Maaf encik, saya dititahkan oleh Tuanku sendiri (Sultan Kelantan) tidak benarkan menghadap.

“Saya hanya menjalankan perintah,” kata seorang pegawai Istana Mahkota ketika menyampaikan titah itu kepada rombongan Elia Suhana di pintu pagar Istana Mahkota.

Cubaan kali pertama Elia Suhana untuk melawat Sultan Kelantan sekembalinya dari Singapura 4 Mac lalu yang juga berakhir dengan kegagalan setelah dikatakan dihalang oleh Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada 12 Mac lalu.

Sultan Kelantan telah berkahwin dengan Elia Suhana pada 31 Dis 2007.

Pada 21 Feb lalu, Elia Suhana memfailkan saman menghina mahkamah ke atas Tengku Anis kerana ingkar mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah yang telah membenarkan beliau menziarahi baginda antara Sabtu dan Isnin setiap minggu.

Perintah mahkamah membenarkan Elia Suhana melawat Sultan Kelantan sepertimana hari dan masa yang ditetapkan tersebut telah dikeluarkan pada 4 Feb lalu melalui Hakiam Syarie Abdullah Man yang ketika itu baginda sedang menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Elia Suhana kelihatan kecewa apabila kehadirannya atas kapasiti sebagai seorang isteri terus mendapat halangan.

“Sebagai isteri saya juga mempunyai hak untuk menziarah Tuanku.

“Kehadiran saya atas kapasiti seorang isteri, lagipun dengan perintah mahkamah.

“Perintah mahkamah berhubung hak lawatan saya ke atas Tuanku setiap Sabtu hingga pagi Isnin masih sah,” kata beliau kepada pemberita.

Rabu lepas Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kota Baru membenarkan Elia Suhana melawat Sultan Kelantan seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah 4 Feb lalu.

Panel tiga hakim iaitu Ketua Hakim Syarie Datuk Daud Mohamad, Hakim Tan Sri Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Hakim Wan Hassan Wan Muhamad membenarkan lawatan itu setelah mengadakan semakan terhadap afidavit dan autoriti pihak Elia Suhana, 31, dan pihak Raja Perempuan Kelantan.

Daud berkata, keputusan penangguhan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 April lalu adalah tidak sepatutnya kerana perintah itu telah dikeluarkan ke atas isteri yang sah.

Pada 4 April lalu, mahkamah yang sama telah menangguh kes permohonan Elia Suhana bagi mendapatkan hak lawatan kekal ke atas suaminya dengan alasan mahu permohonan itu didengar selepas kes bantahan awal pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan ke atas Elia Suhana.

Pada 21 Mac lalu, Elia Suhana memfailkan permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap dirinya yang difailkan seorang wanita Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, sebelum ini yang mendakwa Sultan Kelantan telah menjatuhkan talak ke atas Elia Suhana pada 12 Feb lalu.

Dalam pada itu, Fakhrul Azman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes ini di mahkamah.

“Kita dimaklumkan oleh seorang pegawai istana tadi mengatakan Sultan (Kelantan) bertitah tidak mahu jumpa dengan Che Puan Elia dengan alasan mengatakan Sultan telah melafazkan cerai.

“Jadi kita akan fikir macam mana tindakan selanjutnya sebab kes ini berada di mahkamah,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan