Tindakan Jais halang Nik Aziz di masjid terus dipertikai

Dzulfikar Mashoor
SHAH ALAM, 13 Mei:
Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghalang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada menyampaikan khutbah di masjid pada kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor lepas terus dipertikai.

Menurut Abdul Rahman Talib
(gambar) atau lebih dikenali sebagai blogger Tulang Besi, tindakan Nik Aziz berkhutbah Jumaat di masjid bukanlah ceramah politik, seperti yang didakwa Jais.

"Apa masalahnya Tok Guru berkhutbah kerana itu suruhan agama, beliau tidak berpolitik, Jais menuduhnya berpolitik di masjid," katanya.

Sebaliknya, menurut beliau, khutbah Jumaat wajar disampaikan oleh sesiapa sahaja agamawan yang dianggap layak dan disegani, seperti Nik Aziz yang juga Menetri Besar Kelantan.

Berbanding PAS dan Pakatan Rakyat, Umno BN, menurut beliau, terbukti menggunakan masjid untuk berkempen memenangkan calon BN, P Kamalanathan, seperti yang didedahkan Malaysiakini.com pada 6 Mei lalu.

Baginya, tindakan Umno BN tersebut sekaligus jelas bertentangan dengan titah Tuanku Sultan Selangor.

"Kain rentang ini sahaja dah cukup jelas untuk mengatakan tindakan Umno BN itu haram, bercanggah dengan titah Tuanku Sultan.

"Kenapa sibuk halang Tok Guru berdakwah di masjid, sedangkan Umno jelas berkempen atas nama BN di masjid," kata beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi tampil membuktikan bahawa tindakan menghalang Nik Aziz berkhutbah itu tidak didalangi oleh mana-mana pemimpin Umno.

"Apa kelayakan Khusrin nak halang Tok Guru, dia kena jelaskan adakah tindakan Tok Guru itu salah di sisi agama," ujarnya lagi.

Bercakap di lobi Jais, beliau menjelaskan telah membuat suatu laporan rasmi kepada Jais supaya Khusrin menyatakan penyalahgunaan masjid oleh BN untuk berkempen.

Tambahnya lagi, suatu salinan laporan turut dikepilkan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar), Datuk Dr. Hasan Mohd Ali (Exco Agama, Adat Istiadat dan Infrastuktur) dan Theng Chang Khim (Speaker Dun) dan Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam).

Dalam perkembangan berkaitan, Utusan Malaysia pada 23 April lalu melaporkan bahawa inisiatif Khusrin menghalang Nik Aziz itu sebagai menjunjung titah Sultan.

Bagitupun, Khusrin tidak pula dilaporkan menghalang majlis bacaan Yaasin dan Solat Hajat bagi memenangkan Kamalanathan yang dianjurkan oleh Umno BN sendiri.

Khalid Samad turut mempertahan tindakan Nik Aziz, selain mempersoal tindakan Jais berdiam diri apabila Umno BN sendiri menggunakan masjid untuk berkempen politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan