Umno kerah polis lindungi judi bola sepak berlesen

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 20 Mei:
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada polis kerana kesungguhannya untuk melindungi judi bola sepak berlesen milik Tan Sri Vincent Tan yang diluluskan kerajaan yang dilihat menguntungkan Umno.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin sebelum ini berkata, pihak polis akan memerangi habis-habisan mereka yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjalankan perjudian haram membabitkan wang pertaruhan sempena Piala Dunia.

Mahfuz berkata, kenyataan Mohd Bakri itu sekaligus membuktikan kerajaan dan parti Umno Barisan Nasional tidak dapat apa-apa sumbangan dari sindiket perjudian tanpa lesen.

"Dengan mengeluarkan lesen kepada syarikat milik Vincent Tan sudah pasti rundingan telah dibuat untuk pastikan bukan saja pulangan cukai yang diperolehi oleh kerajaan tetapi sudah pasti ada bahagian yang akan diperolehi untuk dana politik Umno BN.

"Jadi polis dikerah untuk membanteras sindiket tanpa lesen yang tak menguntungkan Umno BN untuk menjayakan dana politik Umno BN melalui perjudian bola sepak piala dunia yang dikendalikan oleh tauke judi negara, Vincent Tan.

"Maknanya polis bekerja untuk politik Umno dan Vincent Tan. Tahniah polis," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau juga melihat kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah itu sebagai ikrar akan memastikan setiap rakyat Malaysia yang mahu terlibat dengan pertaruhan perjudian sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia hanya dibenarkan melakukannya dengan syarikat Ascot Sports Vincent Tan yang diberikan lesen oleh kerajaan BN.

"Satu perkara yang pelik apabila polis boleh bersetuju dengan pemberian lesen judi bola sepak yang akan meninggalkan kesan buruk kepada masalah sosial dalam negara seperti jenayah rompak, ragut dan bunuh.

"Dengan bertambahnya kegiatan judi melalui sukan bola sepak akan menyebabkan rakyat jadi malas hanya bergantung pada nasib dan akan lahir ramai penganggur yang hanya berharap dapat wang dari berjudi.

"Keruntuhan institusi keluarga akan meningkat. Apakah pula langkah dan tindakan polis selepas ini?" Mahfuz mempersoalkan.

Baginya, kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang malah menyatakan polis telah mengesan suspek dan lokasi perjudian membuktikan bahawa alasan kerajaan mengeluarkan lesen judi bola sepak kepada Vincent Tan untuk mengatasi perjudian haram ternyata tidak benar.

"Maknanya sindiket tanpa lesen akan terus wujud walaupun judi bola berlesen dikeluarkan. Ini menunjukkan kenyataan kerajaan sebelum ini meleset," kata Mahfuz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan