Anak muda bakal terajui Dewan Ulamak PAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Jun:
Tidak mustahil anak muda yang akan menerajui kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat suatu ketika nanti, apabila kriteria-kriteria tertentu berjaya dicapai.

“Saya menyatakan perkara ini dengan penuh perasaan dan pengharapan yang menggunung.

“Saya tidak merendahkan kepimpinan Ustaz Datuk Harun Taib, saya tetap menganggap beliau sebagai ayahanda yang amat saya kasihi, apa lagi saya pernah bersama beliau,” ujar Ketua Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Mohd Dzul Khairi Mohd Noor dalam satu kenyataan.

Namun, menurutnya perkara itu beliau cetuskan setelah melihat dan mengimbau kepada kepimpinan Islam yang lampau.

Jelasnya, Mehmeth al-Fatih menjadi pemimpin dalam usia 21 tahun, Al-Ayubi memimpin Mesir ketika berusia 23 tahun, Imam al-Syafei menjadi mufti ketika usia menginjak 18 tahun, Ibnu Abbas pula menjadi mahaguru tafsir ketika masih kecil lagi sementara Usamah bin Zaid memimpin peperangan dalam usia 18 tahun.

“Ini adalah bukti bahawa anak muda mampu memimpin. Maka saya tidak meragui kemampuan anak muda untuk menjadi Ketua Dewan Ulama PAS kelak,” katanya lagi.

Katanya, mungkin orang akan mempertikaikan soal pengalaman, namun ia bukan satu rintangan yang besar.

Beliau menambah, apa yang penting adalah kemampuan mengurus dan mentadbir, bijak membuat perencanaan dan mengatur srategi, mempunyai pengaruh yang berkesan, mempunyai wawasan yang jauh dan berjiwa agresif, bersemangat kaizen, bahkan enggan mengalah.

Merujuk Muktamar Tahunan PAS ke-56 baru-baru ini, dicadangkan agar kerusi Naib Presiden ditambah dengan tujuan memberikan ruang kepada kepimpinan muslimat, beliau pula mahu mencadangkan agar muslimat juga diberikan ruang untuk menjadi pemimpin utama dalam Dewan Ulama.

Katanya, walaupun memang sangat sukar untuk mencari muslimat yang mampu menduduki kerusi dalam kepimpinan Dewan Ulamak, namun usaha itu harus digiatkan.

“Anak muda jika menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS, saya yakin akan membawa satu paradigma gerakan dan pencerahan yang menakjubkan,” ujarnya lagi.

Baginya, ulama harus bersama dengan pemimpin politik dalam mengatur negara sebagaimana Shamsuddin al-Wali yang sentiasa bersama Mehmeth al-Fatih.

Katanya, walaupun ulama berperanan membetulkan pemikiran dan budaya masyarakat yang kian terjajah dengan Barat dan memberikan tunjuk ajar dan nasihat kepada pejuang Islam tetapi mereka perlu bersama pemimpin politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan