Anwar: Kalau gugur MP, saya pusing satu negara

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ejen Israel kini memusuhinya disebabkan sokongannya terhadap gerakan Hamas di wilayah konflik Gaza di Palestin.

Bercakap ketika menyampaikan ceramah di Selayang malam semalam, Anwar berkata sebuah organisasi bernama Badan Yahudi sedunia kini giat melobi supaya negara Israel memutuskan hubungan dengannya.

"Badan Yahudi Sedunia kata Anwar Ibrahim merupakan seorang musuh Yahudi utama, maka orang Israel mesti putuskan hubungan dengan dia," katanya.

Katanya, Hamas dipilih oleh penduduk Islam Gaza namun Israel tidak mengiktiraf gerakan Islam itu sebagai kerajaan.

"Israel tidak akan menjadi ganas dan zalim tanpa dokongan AS... Saya tidak ada masalah kalau berbaik dengan AS tetapi jangan tunduk dengan AS.

"Bila Israel tidak iktiraf (Hamas), AS pun tidak iktiraf. Bila AS tidak iktiraf, Umno pun tidak iktiraf," katanya disambut dengan gelak ketawa daripada hampir 2,000 orang yang hadir.

Seperti juga dalam siri ceramahnya sebelum ini, Anwar kemudiannya terus cuba mengaitkan Umno yang dipimpin perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ejen Israel.

Katanya, beliau telah mengemukakan bukti berhubung dakwaannya di Parlimen sebelum ini yang mengaitkan slogan 1Malaysia dengan One Israel.

Jelasnya, bukti tersebut merupakan perjanjian yang dimaterai antara negara Israel dengan firma perundingan Apco Worldwide pada "tahun 1991 (atau) 1992" serta perjanjian sama yang ditandatangani Malaysia dengan firma yang sama pada 2009.

"Pada tahun 1999 perdana menteri Israel lancarkan One Israel, pada 2009 pula Najib lancarkan 1Malaysia... mungkin ini kebetulan," katanya lagi.

Tambahnya, pegawai yang menguruskan Apco itu pernah bertugas di badan perisikan Israel yang berpengkalan di AS.

Katanya lagi, beliau tidak gentar sekiranya digugurkan daripada menganggotai Parlimen, berikutan pendedahannya itu.

"Kalau saya digugurkan selama enam bulan, saya selama enam bulan akan round (jelajah) seluruh negara," katanya.

Nasib Anwar kini sedang ditentukan jawatankuasa hak dan kebebasan Palimen yang turut memanggil pengurusan tertinggi Apco hari ini bagi menentusahkan dakwaan oleh ketua pembangkang itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan