Azmin Lwn Khalid: Yang Tersurat dan Tersirat

A Kadir Jasin

PENGGUGURAN Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Selangor dan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai pengganti memberi kesan besar kepada dua pemuka PKR itu.

Sekali gus ia memperkukuhkan kedudukan Mohamed Azmin dan di masa yang sama mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan politik Abdul Khalid.

Gabungan jawatan naib-presiden dan pengerusi PKR Selangor menjadikan Mohamed Azmin pemuka terkuat parti itu selepas ketua umumnya Anwar Ibrahim dan presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Prestij Mohamed Azmin sebagai sekutu akrab dan “loyalist” Anwar mendapat anjakan kerana sekarang beliau juga menjadi supremo politik Selangor, sebuah negeri maju di mana PKR adalah peneraju.

Sejak awal lagi, Mohamed Azmin dianggap penyandang jawatan Menteri Besar Selangor yang paling sesuai, tetapi tidak dipilih kerana beberapa sebab. Antaranya, Anwar tidak mahu Mohamed Azmin terpisah jauh daripadanya dan kedua dia tidak mahu dituduh mengamalkan pilih kasih dengan melantik Mohamed Azmin.

Di pihak lain, Anwar terpaksa memberi muka kepada Abdul Khalid yang banyak membantu imej PKR apabila dia menyeberang daripada Umno dan pada masa yang sama memainkan peranan penting sebagai Bendahari PKR.

Tetapi Anwar tentu sejak awal lagi sedar bahawa watak dan latar belakang politik Abdul Khalid boleh menjadi beban kepada PKR kerana mereka sama-sama dalam Umno dan kenal rapat antara satu sama lain.

Abdul Khalid bukanlah watak yang popular. Sama ada dalam dunia korporat sebagai eksekutif kanan PNB dan kemudian “pemilik/pengurus” Kumpulan Guthrie atau sebagai penggiat Umno, dia kurang disenangi.

Dalam PNB, beliau diketahui sangat akrab dengan pengerusi PNB ketika itu, Allahyarham (Tun) Ismail Mohd Ali, tetapi percubaannya memenuhi aspirasi politiknya melalui Umno Selangor tidak menyerlah. Setelah hilang “kawalan” ke atas Kumpulan Guthrie, beliau meninggalkan Umno untuk mencuba nasib dengan PKR, di mana nasibnya nyata lebih baik.

Mohamed Azmin mempunyai watak yang lebih disenangi dan mempunyai ramai kawan serta orang yang bersimpati dengannya kerana untuk sekian lama dia bertugas sebagai pembantu khas dan orang “cofidante” Anwar ketika Anwar dalam kerajaan. Ketika itu, Mohamed Azmin adalah penjaga pintu (gatekeeper) yang berkuasa.

Walaupun Anwar mendapat kawan dan penyokong baru selepas dipecat daripada kerajaan pada akhir 1998, namun Mohamed Azmin kekal istimewa dan akrab.

Anwar sedar bahawa tanpa campur tangan beliau melindungi Abdul Khalid, Menteri Besar Selangor itu pasti tidak mampu menangkis serangan penyokong Mohamed Azmin. Di masa yang sama, dia tidak boleh lagi menyekat kemaraan Mohamed Azmin, lebih-lebih lagi dalam suasana di mana beliau sendiri menghadapi tekanan akibat tuduhan liwat terhadapnya.

Sekiranya Mohamed Azmin tidak dibenarkan memenuhi potensinya untuk mara dalam kepemimpinan PKR sekarang, masa depannya mungkin tidak secerah sekarang memandangkan kemasukan beberapa pemuka baru yang bercita-cita besar. Mereka ini boleh membantut dan seterusnya menamatkan riwayat politik Mohamed Azmin.

Anwar tentu tidak mahu atau tidak mampu membenarkan kemungkinan ini berlaku kerana bukan sahaja Mohamed Azmin terlalu istimewa kepada beliau, tetapi masa depan PKR sebagai “creature” ciptaan Anwar dan untuk Anwar, akan terancam jika kepemimpinan parti itu terlepas daripada tangan para “loyalist”nya. Buat masa ini, Mohamed Azmin adalah orang setia Anwar yang paling kanan dalam PKR.

Tidak dapat dinafikan iaitu jika PKR mahu terus mengekal dan memperkuatkan sokongan orang Melayu, parti itu memerlukan pemuka yang berjiwa dan berwajah Melayu yang sekali lagi diwakili oleh Mohamed Azmin.

Jadi, walaupun perubahan jawatan yang membabitkan dua pemuka Selangor ini nampak kecil dan diuar-uarkan sebagai perubahan biasa, namun apa yang tersirat sebenarnya lebih besar dan mendalam.

Sekalipun Abdul Khalid tidak dijangka mempunyai pengaruh untuk mensabotaj Mohamed Azmin, tetapi pihak-pihak lain yang mahu menyekat kemaraan Mohamed Azmin atau cemburu terhadap keakrabannya dengan Anwar, mungkin mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh.

Sebaliknya, kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar belum tentu selamat kerana, mengikut laporan media massa, penentangan terhadap beliau masih berterusan.

http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan