DAP Selangor Tidak Akan Termakan Umpan Parti Lawan

DAP Selangor yakin tren pengkhianatan Adun-Adun DAP yang berlaku di Perak tidak akan menular ke Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata wakil rakyat DAP Selangor dan akar umbi parti komited memperkasa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan tidak akan termakan dengan umpan parti lawan.

Adun Sekinchan berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan saman DAP Perak terhadap dua bekas Adun parti itu yang berpaling-tadah dan menjadi wakil rakyat bebas yang mesra Barisan Nasional.

Dalam kejadian itu, Adun Malim Nawar Kashvinder Singh dan Adun Jelapang Hee Yit Fong menghadapi tindakan saman RM5 juta ringgit kerana melanggar kontrak kesetiaan yang dimeterai pada PRU-12 lalu.

Ng Suee Lim berkata amalan kontrak taat-setia tidak perlu diamalkan di Selangor buat masa ini.

“Saya berfikirkan buat setakat ini di Selangor tidak diperlukan untuk menyekat atau menghalang mana-mana ADUN untuk berpaling tadah atau melompat parti, saya sentiasa percaya seseorang ADUN mereka tidak selesa dengan sesebuah parti dan ingin melompat walaupun dengan apa kaedah sekali pun kita terikat tali dan sebagainya, orang-orang ini akan memikirkan bagaimana kaedah terbaik akan mengatasi ikatan tersebut dan akhirnya mereka akan melompat kerana mereka sudah lari daripada perjuangan.

“Kalau yang tidak lompat, tidak ada sebarang perjuangan pun mereka tidak akan lompat kerana mereka istiqamah kepada perjuangan dan ini pandangan saya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan