Abdul Jalil Ali
Agaknya nilai ringgit sekarang sudah terlalu rendah, menyebabkan kita semakin terbiasa dengan sebutan RM juta-juta. Duit syiling 1 sen sudah dimansuhkan, 5 sen seperti habuk, 10 sen orang tak pandang lagi. Malah 50 sen – duit syiling paling besar – pun dikelaskan sebagai ‘ciput’ atau ‘haprak’.
Saya tidak sempat melihat zaman yang disebut opah sebagai ‘duit 1 sen nilainya sebesar roda kereta lembu’, pada hal syiling zaman penjajahan Inggeris itu bukan bulat, tetapi empat persegi. Satu sen boleh beli semua.
Tetapi, saya pernah berasa keseronokan zaman kanak-kanak apabila dapat duit syiling berkarat ketika sedang menggali tanah untuk mencari cacing buat umpan memancing. Syiling sudah berwarna hitam itu diletakkan di atas pasir kemudian dilenyek dengan tumit sehingga hilang karat dan kelihatan tulisan ‘10 sen’. Saya tidak jadi memancing!
Tidaklah sebesar roda kereta lembu, tetapi duit berkarat yang saya jumpa itu membolehkan saya berjoli sakan sambil menikmati mi goreng atau rojak di kedai mamak, siap dengan sirap bandung selasih gelas besar. Malah, dapat lagi sekeping karipap. Pendek kata malam itu saya tidak perlu makan di rumah.
Begitulah nilai 10 sen kira-kira setengah abad lalu. Hari ini usahkan 10 sen, RM1 hanya dapat beli roti canai kosong, minum air suam percuma. RM10 boleh makan nasi kandar untuk saya seorang, lauk kari kepala ikan bawal, dua bendi sebesar ibu jari, sedikit papadom, dan segelas teh tarik. Demikianlah beza duit kita dulu-dulu dengan sekarang.
Sebab itulah orang tidak lagi bercakap mengenai puluh, ratus atau ribu ringgit. Sekarang orang bercakap mengenai juta-juta ringgit. Bukan tokoh korporat sahaja main juta-juta, penjaga tempat letak kereta, penjual burger bawah pokok, hatta mat rempit pun berkobar-kobar bercakap tentang RM juta-juta.
Kalau ikut iklan di surat khabar, radio dan TV, nampaknya mudah sangat untuk jadi jutawan. “Semua orang boleh jadi jutawan!” demikian selalu dijeritkan dalam iklan. Bukan jerit kosong, tetapi dibuktikan dengan gambar yang sudah menjadi jutawan, tersenyum hingga ke telinga sambil menyandarkan tubuh pada kereta mewah model terkini, atau di hadapan sebuah banglo.
Menyertai skim jualan langsung produk kecantikan, boleh jadi jutawan. Melabur menerusi skim pelaburan di internet, boleh jadi jutawan. Membeli-belah di pasar raya pun ada kupon - peluang anda jadi jutawan. Mohon kad kredit (untuk berhutang!) di bank pun sama.
Lagi cara-cara mudah menjadi jutawan, seperti yang selalu diuar-uarkan dalam iklan ialah: ‘Gores dan menang’, menyertai pertandingan ‘reality TV’, kuiz di TV, membuka akaun simpanan di bank. Malah, mengisi tangki kereta anda di stesen minyak pun memungkinkan anda jutawan.
Tidak lama lagi anda boleh jadi jutawan dengan menyertai pertaruhan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan. Kerajaan sudah meluluskan lesen judi boleh sepak. Walaupun ditentang hebat semua pihak, setakat ini belum ada tanda-tanda lesen itu ditarik balik. Mungkin kita akan melahirkan ramai jutawan musim Piala Dunia kali ini!
Oleh sebab RM juta-juta pun sudah tidak terasa besar, kini kita mula bercakap pula mengenai RM bilion-bilion (dulu disebut ‘laksa’ – macam laksa Penang!). Angka bilion yang dulu-dulu jarang kita dengar pun kini sudah jadi biasa, sebab tiap-tiap hari media kita menyiarkan perkara mengenai ‘laksa’.
Sima Darby, sebuah syarikat raksasa, rugi RM1.6 bilion. Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menyebabkan kos melambung menjadi RM12.5 bilion. Skandal pasir di seluruh negara pun, seperti dibongkar SPRM, nilainya RM bilion-bilion. Kita beli kapal selam pun harganya bilion-bilion.
Sehari dua ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala memberi amaran Malaysia akan menjadi papa kedana @ muflis @ bankrap seperti Greece pada 2019, sekiranya kerajaan tidak hapus subsidi. Beliau pun bercakap mengenai RM bilion-bilion, bahawa kerajaan sekarang berbelanja RM74 bilion setahun kerana membayar subsidi untuk berbagai-bagai sektor ekonomi dan sosial. Beliau menambah, kerajaan sekarang berhutang RM362 bilion kepada pihak tertentu, dan defisit kita kini adalah sebesar RM47 bilion. Nampaknya kita sudah tidak lagi main juta-juta, tetapi sudah taraf ‘laksa-laksa’.
Tetapi ketika berkobar-kobar bercakap mengenai juta-juta dan bilion-bilion, ada ramai lagi yang hidup di bawah paras miskin tegar. Selalu kita mendengar keluarga 10 anak dengan pendapatan ayah tidak sampai RM500 sebulan. Ada kanak-kanak tidak bersekolah sebab keluarga tidak mampu membayar tambang bas.
Malah di Sungai Petani, Kedah, minggu lalu ada satu keluarga yang hidup kais pagi makan pagi, anak-anak selalu tidak cukup makan, dan mengharapkan belas ihsan jiran tetangga untuk memberi makanan. Ada ramai lagi yang menderita seperti ini di seluruh negara. Mereka tidak tahu juta, tidak tahu bilion. Mungkin bagi mereka 1 sen pun amat bererti.
Jadi, jangan hanya ghairah untuk menjadi jutawan. Jangan kalut sangat sebut juta-juta pagi petang siang malam. Ingat juga kepada sekian banyak orang tidak ada duit walaupun untuk membeli beras, sehingga anak-anak kebuluran terpaksa makan tanah yang disangka coklat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan