Dewan Rakyat tiada hak putuskan kes Tian Chua

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Jun:
Dewan Rakyat tidak berhak untuk masuk campur bagi menentukan Tian Chua masih anggota Parlimen yang sah atau tidak.

Pengerusi Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia, Edmund Bon (gambar) berkata, perlembagaan telah dipinda sebelum ini yang menetapkan Parlimen tidak berhak untuk campur tangan.

"Ia terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memilih pandangan denda RM2,000 sudah gugurkan hak Tian Chua sebagai MP Batu atau menyokong pandangan Hakim Ghazali Cha bahawa denda RM2,000 itu menyelamatkan kerusi itu dari kosong," kata Edmund kepada Harakahdaily.

Edmund mengulas pandangan Timbalan Spaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata ahli parlimen Batu itu boleh memilih untuk menjalani hukuman penjara dua bulan jika beliau tidak mahu kehilangan kerusi parlimennya itu.

Ini berikutan dari pandangan umum bahawa denda RM2,000 itu sudah menghilangkan kelayakan Tian Chua sebagai MP. Pandangan ini turut dikongsi oleh Karpal Singh.

Bagaimanapun, Edmund berkata, dalam satu kes di Mahkamah Persekutuan,
PP v. Leong Ying Ming (1993), hakim Gan Chit Tuan telah membuat tafsiran yang jelas dalam kes ini.

Dalam kes itu, hakim itu mentafsirkan, hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun bermakna lebih dari lima tahun iaitu lima tahun satu hari.

"Dalam kes Tian Chua, tidak kurang dari RM2,000 bermakna lebih dari RM2,000. Ini bermakna denda RM2,000 melepaskan Tian Chua dari kehilangan kerusi ini," kata Edmund.

Pagi tadi, dua peguam Tian Chua, Ranjit Singh dan Amir Hamzah telah menemui Hakim Ghazali Cha.

Dalam pertemuan itu, kedua-duanya memaklumkan hakim itu kes 1993 itu. Ini telah menguatkan lagi keputusan hakim itu yang berkata dalam penghakimannya sebelum ini, keputusan menurunkan denda kepada RM2,000 itu untuk membolehkan tidak ada pilihan raya kecil berlaku.

Ketika ditanya, apakah yang akan berlaku selepas ini, Edmund berkata, kini bergantung kepada SPR.

"Jika SPR putuskan Tian Chua hilang kerusinya, maka saya nasihatkan Tian Chua membantah keputusan SPR itu di mahkamah menggunakan kes 1993 ini ini.

"Lagipun, jika ini yang dipakai SPR bermakna Tian mesti lawan kerana jika beliau bersetuju bermakna beliau menerima untuk tidak menyertai sebarang pilihan raya dalam tempoh lima tahun dari sekarang kerana jika ini terpakai Tian hilang hak untuk menyertai sebarang pilihan raya selama lima tahun," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan