Hina Sultan: Isteri tak tau di mana suami berada

Isteri kepada seorang tertuduh yang didakwa menghina Sultan Perak, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau tidak pasti di mana suaminya berada ketika kejadian itu berlaku.

Juruteknik di Jabatan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Aziah Mohd Khalid, 50, berkata suaminya, Muslim Ahmad, 54, yang menghadapi tiga pertuduhan pindaan menghantar komen yang jelek sifatnya di laman web www.perak.gov.my. adalah seorang suami yang kuat bekerja.

"Saya tidak pasti, sebab saya tahu suami saya jenis yang 'workaholic', kebiasaannya apabila saya dan anak-anak tiada di rumah, dia akan berada di kilang di Batu Caves, dia tidak ada cuti kerana dia bekerja sendiri," katanya.

Aziah yang merupakan saksi kelima pendakwaan itu turut memberitahu mahkamah bahawa pada hari kejadian iaitu pada 7 dan 8 Feb 2009, beliau tidak berada di rumah kerana bekerja syif pagi bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Habibah Harun dalam pemeriksaan utama, Aziah berkata biasanya beliau pergi bekerja dengan memandu keretanya sendiri, tetapi pada hari itu suaminya telah menghantar dan mengambilnya pulang dari tempat kerja.

Ketika ditanya kepada Habibah, siapa yang berada di rumahnya pada hari itu, beliau berkata keempat-empat anak perempuannya tiada di rumah, tetapi anak sulungnya, Khadijah Muslim, 24, ada pulang sebentar untuk mengambil keretanya (Aziah).

Aziah bagaimanapun tidak pasti waktu bila anak sulungnya yang juga memiliki salinan kunci kereta itu pulang ke rumah kerana anaknya hanya menghubunginya sehari sebelum kejadian (pada 6 Feb tahun lalu).

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes suaminya Muslim yang didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Feb tahun lepas, pukul 2.21 petang. Muslim juga didakwa melakukan kesalahan sama pada hari sama, pukul 2.27 petang dan bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukan kesalahan sama pada 8 Feb tahun lalu, jam 4.39 petang.

Muslim yang bekerja sendiri, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di alamat 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di Kuala Lumpur.

Muslim diwakili peguam K Periasamy, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Kepada soalan lain, mengenai tahap pengetahuan dan kepakaran suaminya mengenai komputer dan internet, beliau berkata beliau tidak mengetahui sejauh mana tahap pengetahuan atau kepakaran suaminya dalam bidang itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah bersambung esok.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan