Jaga siar gambar bogel sendiri dipenjara 6 bulan

Seorang pengawal keselamatan yang menyebarkan gambar lucahnya melalui beberapa laman web di internet, dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Shahrom Mahadi, 45, dari Taman Melawati di sini, mengaku bersalah di hadapan Hakim Azizah Mahamud.

Terdahulu, bapa kepada enam anak itu mengaku tidak bersalah bagi enam pertuduhan asal iaitu memuatkan beberapa keping gambar bogelnya melalui beberapa laman web dan juga enam pertuduhan alternatif iaitu menyebarkan gambar lucahnya itu di internet.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu pada 27 Feb 2009, di pejabat Bahagian Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Perdana, Jalan Dato Onn di Kuala Lumpur, tempat dia dipanggil untuk soal siasat polis.

Walaupun Shahrom dibebas dan dilepaskan daripada enam pertuduhan asal mahkamah mensabitkan kesalahan bagi enam pertuduhan pilihan selepas menerima pengakuan bersalahnya.

"Mahkamah mendapati kamu mempunyai niat dan sengaja, dalam mewujudkan laman web yang memuatkan gambar kamu, untuk mendapatkan pelanggan dan ini akan menimbulkan perkara negatif terhadap remaja khususnya yang melayarinya.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan kepentingan awam yang mengatasi kepentingan kamu sendiri kerana laman web ini telah diwujudkan sejak 2006 sehingga tahun lepas," kata hakim Azizah.

Beliau mengenakan hukuman penjara enam bulan bagi setiap kesalahan dan memerintahkan ia berjalan serentak bermula hari ini.

Shahrom, yang kelihatan bersahaja dan tersenyum, tidak diwakili peguam dan merayu dikenakan hukuman yang ringan memandangkan dia telah insaf dan menyesal dengan perbuatannya itu serta perlu melangsaikan hutangnya.

"Saya banyak hutang dengan bank, selain telah kehilangan kerja. Isteri saya juga sering berdepan tekanan perasaan yang menyebabkan dia tidak mampu menjaga anak-anak," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farhan Read dan Hamidi Mohd Noh.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan