Johan kemuka saman RM1j

Johan kemuka saman RM1j
KUALA LUMPUR:
Pelawak, pelakon dan pengacara, Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan mengemukakan tuntutan berjumlah RM1 juta terhadap produksi drama dan pengarah yang menyebabkan kecederaan di mukanya dalam pergaduhan yang berlaku pada 11 Mei lalu.

Tuntutan difailkan melalui Tetuan Zahrin, Emrad dan Sujaihah. Peguam bela yang mewakili Johan, Zahrin Ishak berkata surat tuntutan sudah dihantar kepada pihak terbabit kelmarin.

Beliau berkata, jumlah RM1 juta dituntut sebagai ganti rugi am dan ganti rugi khas merangkumi perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan sampingan yang ditanggung anak guamnya.

“Kami memberi tempoh tujuh hari kepada mereka untuk mengeluarkan satu kenyataan maaf secara terbuka dalam akhbar dan televisyen serta menarik balik semua surat, e-mel berbentuk fitnah yang dikeluarkan kepada persatuan industri dan mana-mana pegawai bahagian berkenaan serta RM200 untuk kos pengeluaran notis peguam,” katanya.

Zahrin berkata demikian pada sidang media bersama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) semalam. Hadir sama pada sidang media khas itu, Presiden Seniman, Harun Salim Bachik.

Bagaimanapun, katanya, dalam surat tuntutan itu pihaknya turut memaklumkan kesediaan menyelesaikan masalah yang berlaku di luar mahkamah dan pihaknya sedia dihubungi pada bila-bila masa untuk perundingan.

Sementara itu, Johan berkata dia mengambil tindakan undang-undang berikutan insiden itu selepas mendapat nasihat peguamnya, selain sokongan diterima daripada Seniman.

“Tindakan saya ini sebagai pembelaan atas apa yang dilakukannya (pengarah terbabit) kepada saya dan sebagai peringatan kepada pengarah lain supaya mereka tidak bertindak sesuka hati kepada pelakon.
“RM1 juta itu hanya syarat. Apa yang utama ialah kesedaran di pihak pengarah dan hak saya untuk mendapat pembelaan atas maruah diri. Bukan saja saya yang cedera akibat dibaling gelas tetapi isteri, Rozlinawaty Ismail (Ozlyn Wati), juga dikasari apabila ditendang,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Menurut Johan, sehari sebelum kejadian itu dia kehilangan ibu tersayang, Salwa Md Dani yang meninggal dunia. Walaupun dia sepatutnya boleh bercuti atas kematian ibunya tetapi dia gagahi juga untuk bekerja kerana sedar berlakon adalah sumber pendapatannya.

“Tetapi, tidak sangka pula kejadian itu berlaku. Apapun, atas dasar kemanusiaan, saya sudah maafkan perbuatan dia selepas dia memohon maaf kepada saya menerusi panggilan telefon dan kami tidak bertemu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan