Judi sukan: PPP sokong Najib

Dalam usaha untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikecam hebat oleh rakyat berhubung isu lesen judi sukan Kumpulan Berjaya, PPP hari ini mengambil pendirian yang sama dengan MCA, iaitu kelulusan berkenaan mesti diimbangi dengan peraturan yang ketat.

"Sebab utama bagi memberi lesen judi adalah untuk memastikan pertaruhan haram disekat dan bagi memastikan orang ramai tidak menjadi mangsa kepada sindiket judi haram, yang sehingga kini tidak berjaya dibanteras,” kata presiden PPP, Datuk M Kayveas pada ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan parti itu pagi ini yang turut dihadiri oleh Najib.

"Negara kita telah lama membiarkan beberapa pertaruhan dan loteri dijalankan. Malah, tempat perjudian utama adalah di Genting Highlands.

"Hanya bdengan penguatkuasaan yang ketat, kita akan pastikan rakan-rakan Islam tidak terbabit dengan judi yang diberikan lesen itu,” katanya.

Diskaun 10 peratus

Kayveas pada ucapannya juga meminta diskaun 10 peratus bagi pembelian hartanah diberikan kepada golongan bukan bumiputera yang mempunyai pendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Pada masa ini, semua bumiputera tanpa mengira status kemampuan mereka menikmati potongan 10 peratus apabila mereka membeli rumah. Tindakan afirmatif kerajaan itu bertujuan mengalakan bumiputera memiliki rumah.

Beliau juga 'merayu' kepada Najib untuk mencari jalan bagi membantu masyarakat India di negara ini bagi mencapai tiga peratus ekuiti yang dijanjikan sejak negara mencapai kemerdekaannya 53 tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan