Kelemahan pengurusan, operasi Kohilal dibekukan

Kelemahan pengurusan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) yang dianggotai kira-kira 20,000 penyokong PAS menyebabkan kegiatannya terpaksa dibekukan.

T
imbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Nik Amar Abdullah menafikan ada penyelewengan dalam kepimpinan koperasi itu yang menyebabkan koperasi berkenaan menghentikan operasinya.

“Ia adalah masalah kelemahan pihak pengurusan dan bukannya berlaku penyelewengan di peringkat kepimpinan koperasi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Halalan Toyyiban di Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali agar PAS mendedahkan kedudukan wang sebanyak RM45 juta dilaporkan kini disiasat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Ibrahim dilaporkan sebagai mendakwa, pelbagai persoalan menyelubungi koperasi berkenaan sehingga menyebabkan skim pelaburan yang ditubuhkan pada 1986 itu hanya mampu membayar dividen rendah sehingga 1997.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri menyifatkan tindakan Ibrahim mendedahkan isu itu sekarang sebagai sudah terlambat.

"Nampaknya dia (Ibrahim) tak kerja lain menyebabkan ia membangkitkan isu itu," katanya.

Beliau berkata, PAS mengamalkan sikap terbuka dan pihak berkenaan boleh menyiasat jika disyaki wujud penyelewengan dalam koperasi yang dianggotai penyokong parti itu.

Menurutnya, ketika ini koperasi itu dalam peringkat penyusunan semula pengurusannya bagi menggerakkan semula aktivitinya untuk kepentingan anggotanya.

“Kita percaya wujud kelemahan di peringkat pengurusan, yang mungkin membuat kesilapan pelaburan atau sebagainya,” kata beliau.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan