Kenapa syarikat Felda ditutup selepas Najib ambil alih

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Jun:
Datuk Zaid Ibrahim meminta kerajaan menjelaskan berhubung beberapa syarikat berkaitan Felda yang telah ditutup dalam tempoh lima tahun terakhir semenjak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Felda.

"Syarikat-syarikat berikut telah ditutup: Felda Karet, Sutera Jaya dan Felda Herbal. Harus ada penjelasan terperinci kenapa ianya ditutup dan apakah hal ini disebabkan kelemahan pengurusan," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR mendakwa penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung kejatuhan sumber kewangan Felda tidak jelas dan boleh dipertikai.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Datuk Ahmad Maslan Ahmad di Dewan Rakyat Rabu lalu juga tidak menyentuh keuntungan pelaburan yang diperolehi Felda.

"Dia gagal untuk menjelaskan nilai keuntungan Felda melalui pelaburan selain menggunakan wang tersebut untuk 'tujuan kesejahteraan', seperti yang dinyatakan," katanya.

Felda mengalami kejatuhan sumber kewangan sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Rabu lalu, Ahmad ketika menjawab soalan di parlimen memberitahu, kejatuhan nilai kewangan Felda dari RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009 adalah kerana digunakan untuk tujuan kebajikan.

RM2 bilion, jelasnya untuk penanaman semula tanaman, RM603 juta untuk pinjaman rumah tanpa faedah, RM253 juta bagi tabung pembasmian kemiskinan Sabah dan RM662 juta diperuntukkan untuk pembangunan ibupejabat baru Felda.

Menurut Zaid, jumlah RM2 bilion untuk penanaman semula adalah besar dan Ahmad sewajarnya memberi penjelasan lebih terperinci.

"Timbalan Menteri harus memperincikan bagaimana RM2 bilion diperuntukkan termasuk jumlah peneroka yang terlibat, luas kawasan dan adakah ianya termasuk wang pendapatan penduhuluan untuk para penduduk dalam program ini dan apakah ianya menggunakan kaedah penanaman yang standard.

Beliau juga turut mempersoal bagaimana RM253 juta yang dinyatakan oleh timbalan menteri untuk dana pemberantasan kemiskinan Sabah.

"Adakah wang tersebut disalurkan terus kepada penduduk miskin, atau apakah itu disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah yang kekurangan wang?

"Jika ini dianggap 'kesejahteraan masyarakat', kita harus bertanya apakah tugas wajib Felda dan adakah termasuk membantu kerajaan BN yang kekurangan wang," katanya lagi.

Berhubung ibu pejabat baru Felda di Taman Platinum pula, Zaid mempertikai mengapa Felda perlu membayar 40% deposit (berbanding asal 10%) kepada Naza TTDI untuk bangunan baru itu yang bernilai RM662 juta.

Turut dituntut penjelasan berhubung jumlah sejumlah RM4 juta ke RM5 juta dihabiskan untuk kemudahan Felda Football Club.

"Saya menyeru Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak untuk melepaskan Felda dan membiarkan organisasi profesional ini dikendalikan secara telus," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan