Kepincangan Dalam Masyarakat Kita...

ROZAID A. RAHMAN
SEORANG bapa telah membuat laporan polis akan kehilangan dua orang anak lelakinya dan 16 hari kemudian mendapati, mereka sebenarnya berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.Tetapi itu bukanlah ceritanya. Cerita yang sebenarnya ialah, pihak polis kini sedang menimbang untuk mengambil tindakan ke atas keluarga kanak-kanak itu di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 kerana gagal atau cuai dalam menjaga anak di bawah peliharaan mereka sehingga kedua-duanya hilang. Mereka berusia tujuh dan lapan tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Kanan Datuk Ku Chin Wah ketika mendedahkan kejadian ini berkata, pada 15 Mei lalu, seorang lelaki berusia 45 tahun telah membuat laporan polis mendakwa dua orang anaknya tidak pulang ke rumah sejak 12 Mei.

Tetapi menurut Ku, apa yang mencurigakan pihak polis ialah, ketika dia membuat laporan kehilangan anak-anaknya itu, lelaki berkenaan bukan sahaja langsung tidak memperlihatkan riak wajah yang gusar malah kelihatan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Pun begitu, pihak polis melancarkan gerakan mencari termasuklah mendapatkan bantuan daripada penduduk di sekitar Chow Kit di mana dua kanak-kanak ini hilang. Dan selepas usaha mencari menemui jalan buntu, pada 27 Mei, polis menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memaklumkan tentang kehilangan dua kanak-kanak itu dengan harapan akan ada pihak yang menghubungi jabatan berkenaan jika terjumpa mereka.

Menurut Ku, polis terkejut apabila mendapati, dua kanak-kanak tersebut sebenarnya berada dalam jagaan jabatan berkenaan. Siasatan lanjut mendapati, keluarga kanak-kanak itu berasal dari Terengganu dan baru berhijrah ke Kuala Lumpur pada awal bulan Mei untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Mereka duduk menumpang berdekatan dengan Hospital Kuala Lumpur dan oleh kerana sibuk mencari kerja, mereka tidak memperdulikan pergerakan anak mereka.

Ini mendorong pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjutan dan akhirnya apa yang mereka dapati ialah sesuatu yang lebih mengejutkan. Pasangan ibu-bapa kepada kedua-dua anak ini sebenarnya tidak pernah berkahwin dan kelahiran anak sulung mereka tidak pernah didaftarkan.

“Kami dapati, sepanjang berada di ibu kota, budak-budak ini merayau di sekitar Chow Kit bersendirian sambil meminta sedekah dan makanan. Selepas memperolehi wang, mereka akan menghabiskannya di pusat-pusat hiburan bermain game,” kata Ku.

Hasil siasatan polis juga mendapati, seorang warga yang perihatin telah memberi makan kepada dua kanak-kanak ini setiap hari sehinggalah dia terpaksa ke luar kawasan dan apabila kembali dia tidak bertemu lagi dengan mereka.

Yang lebih menyedihkan ialah, kata Ku, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menemui kedua-dua beradik ini berpelukan kesejukan di bawah jejantas LRT Titiwangsa pada 13 Mei lalu dan sejak itu mereka berada di bawah jagaan jabatan itu di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga kini turut bercadang memulakan tindakan undang-undang untuk mengambil hak penjagaan kanak-kanak ini daripada keluarga mereka.

Polis juga berkata, ibu-bapa kedua-dua kanak-kanak ini turut mendakwa mereka pernah kehilangan seorang lagi anak di Terengganu pada tahun 2003 tetapi tidak pasti sejauh manakah kebenaran cerita itu kerana ia didakwa berlaku tujuh tahun yang lalu.

Alahai... apa yang berlaku ke atas dua orang kanak-kanak itu mencerminkan kepincangan yang wujud dalam masyarakat kita. Mungkin tanpa kita sedari dan mungkin juga kita sedari tetapi tidak berupaya untuk mengubah nasib dan keadaan kerana kita juga dibelenggu dengan seribu satu macam hal, perkara dan masalah saban hari.
-mstar-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan