Kerajaan Digesa Tubuh Badan Amanah Pantau Isu Hak Milik Tanah Penduduk Kampung Baru

Kerajaan digesa menubuhkan badan amanah yang dianggotai oleh Lembaga Pentadbiran Penyelesai Pertanian Melayu Kampung Baru sebelum menggerakkan sebarang keputusan merampas dan membangunkan tanah milik penduduk.

Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali berkata Penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang akan diwujudkan sebagai penyelaras pembangunan tanah Kampung Baru sewajarnya membabitkan pihak lembaga yang mewakili suara penduduk secara langsung.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak sebelum ini meminta penduduk Kampung Baru menyerahkan geran tanah sebelum projek pembangunan dapat dijalankan di tanah mereka.

Dalam pertemuan 6 Februari lalu, Najib bersetuju dengan tuntutan penduduk dan memberi jaminan mereka tidak perlu berpindah dari tanah warisan mereka. Namun 29 Mei lalu menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata penduduk perlu keluar dari tanah mereka.

Dr Lo' Lo' berkata Kerajaan Umno-BN perlu memtimbangkan gesaan ini dengan serius kerana penduduk masih lagi samar dengan objektif dan mekanisma rancangan mega itu.

“Saya melihat dalam keadaan tertentu agar ditubuhkan satu badan amanah yang akan memegang geran-geran dan hartanah orang kampung baru ini yang mereka ini di mana mereka ini di bawah MAS tetapi saya yakin orang kampung baru pun lebih percaya kerana geran mereka semuanya akan dipegang oleh MAS.

“Perbadanan itu mungkin dari segi pengurusan, pengukuran itu sendiri tetapi dari segi pemilikan, pengekalan geran-geran hartanah itu mestilah dipegang oleh badan amanah yang diwakili oleh orang Kampung Baru sendiri,” katanya.

Dr Lo' Lo' menjelaskan MAS yang dianggotai oleh tujuh ketua kampung di Kampung Baru mempunyai dokumen-dokumen penting sejarah perkampungan Melayu yang merentasi 110 tahun lalu.

Lantas, MAS mempunyai mandat yang jelas dari penduduk dan perlu dilibatkan dalam sebarang rundingan dan rancangan membangunkan Kampung Baru.

“Dengan salinan-salinan dan dokumen-dokumen penting yang sudah berusia lebihd daripada 110 tahun semuanya bersama-sama MAS, jadi saya kira MAS satu badan yang selayaknya dinaiktarafkan juga sebagai badan amanah untuk memantau dari segi hak pemilikan orang Kampung Baru itu,” katanya.

Dr Lo' Lo' melahirkan kebimbangan Kerajaan Pusat dan GLC yang dilantik untuk mengerakkan rancangan pembangunan Kampung Baru akan meminggirkan kepentingan penduduk dengan pelbagai terma-terma perundangan dan perjanjian yang samar.

“Kita memang amat risau dengan pengumuman daripada Menteri Wilayah Persekutuan ini dengan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, bila saya tanya soalan siapakah yang akan jadi anggota Perbadanan ini, maka beliau menjawab tidak tahu lagi.

“Jadi kita bimbang apabila sudah dibawa ke parlimen nanti, memang pihak kerajaan akan menggunakan majoriti yang meraka ada untuk bina saja akta penubuhan perbadanan ini. Jadi ini yang kita bimbang dan menjadi bimbang kepada orang-orang Kampung Baru sendiri juga,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan