Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 30 Jun: Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 25 Julai depan bagi mengesahkan lafaz talak yang didakwa dilafazkan Sultan Kelantan terhadap isteri keduanya, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31.
Pada tarikh yang sama juga ditetapkan penghujahan permohonan hak melawat baginda yang dikemukakan Cik Puan Elia.
Hakim Syarie, Abdullah Man pada prosiding hari ini membenarkan permohonan penangguhan perbicaraan dengan kos bagi membolehkan pihak plantif membuat pindaan terhadap penyata tuntutan yang dikemukakan berkaitan pengesahan lafaz talak.
Peguam syarie pihak defendan, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, perbicaraan bagi pengesahan lafaz talak tiga yang didakwa dilafazkan Sultan Kelantan sepatutnya berlangsung hari ini dengan menyambung keterangan saksi kedua.
Bagaimanapun katanya, pada prosiding pagi tadi peguam pihak plantif memohon menangguh bagi membolehkan pindaan dibuat terhadap penyata tuntutan yang dikemukakan berkaitan pengesahan lafaz talak.
“Mahkamah membenarkan mereka memasukkan permohonan tersebut dengan kos kerana ia dibuat secara tergesa-gesa pagi tadi,” katanya ketika ditemui di luar kamar.
Pada 21 Mac lalu Elia Suhana memfailkan permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadapnya yang difailkan Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60.
Plaintif diwakil peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar.
Abdullah ketika prosiding awal menyebut permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan yang difailkan plaintif menepati hukum syarak bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan terhadap lafaz cerai itu.
Fakhrul Azman juga berkata, prosiding berkaitan hak lawatan Cik Puan Elia akan dibuat selepas tarikh tersebut, setelah ia dibenarkan mahkamah.
Menurutnya biar pun dibenarkan mahkamah untuk membolehkan Cik Puan Elia melawat baginda, namun beliau telah dihalang.
”Disebabkan kegagalan tersebut kami akan mengambil tindakan menghina mahkamah ke atas pihak berkenaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan