Mahathir heret judi kepada perkauman

Muhammad Nuruddin
Dewan Pemuda PAS dari peringkat pusat sehingga ke akar umbi berasa cukup terkilan dengan kenyataan dangkal Tun Mahathir berkaitan isu judi yang dianggap sebagai isu politik semata-mata. Jelas Tun Mahathir yang kini ingin mencipta nama di peringkat antarabangsa melalui Global Peace Organisation itu cukup tidak matang mengeluarkan kenyataan berkaitan isu domestik terkini iaitu perlesenan judi.

Pemuda PAS Gopeng menolak kenyataan beliau yang mengaitkan bantahan DAP terhadap judi tidak bermakna DAP menerima syarikat Islam. Bersama dengan PAS menolak judi yang merupakan punca kerosakan sosial tiada kena mengena PAS memaksa DAP menganut Islam. Malah jika DAP dan kaum Cina memiliki kesedaran menolak judi ia adalah suatu yang perlu dibanggakan oleh Tun dan Umno kerana tujuan umat Islam di dunia ini adalah untuk menyedarkan perkara yang baik serta menjunjung nilai sejagat.

Kempen 1Malaysia cukup gagal apabila mentor Najib sendiri tergamak menghina kaum Cina dengan mengaitkan judi sebagai kegemaran dan budaya kaum itu.

Adakah Tun mahathir ingin membuat perbandingan antara penerimaan Islam oleh DAP dengan Umno? Jika Umno menerima Islam, bagaimana pula serangan Tun selaku Perdana Menteri dahulu terhadap sekolah agama rakyat (SAR), kalimah Islam pada pertubuhan Islam, serangan terhadap hudud serta mengapa Tun sanggup membela anggota Freemason yang membantu Umno dalam pilihan raya?

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang sudah disokong lebih 40 pertubuhan termasuk dari kalangan bukan Islam adalah petanda yang jelas Tun Mahathir tidak mengikut perkembangan semasa dengan betul.

Undang-undang jelas menyatakan yang semua lesen perjudian dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan sedangkan kerajaan negeri hanya bertanggungjawab terhadap premis judi sahaja di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1961. Jelas pakatan rakyat cukup mendokong aspirasi membawa agenda islah dan taghyir ke arah masyarakat yang lebih baik apabila melihat parti seperti DAP mula berusaha memulihkan kesedaran betapa rosaknya judi.

Alasan kebudah-budakan oleh Tun bahawa lesen judi akan mengawal judi daripada dimainkan oleh orang Islam dan ianya hanya untuk kaum Islam adalah hujah yang dangkal malah Tun seolah-olah tidak mengenal sikap orang melayu. Jika Tun sanggup ke premis judi, orang Melayulah yang antara teramai beratur membeli nombor. Bukankah premis tersebut juga berlesen dan di mana kuasa lesen itu untuk meghalang orang Melayu memasuki premis?

Umno hidup melalui pendapatan judi sejak tahun 1951. Dalam keadaan negara yang diramalkan bakal bankrap akibat gejala boros dan rasuah dalam pemerintahan Malaysia, setiap peristiwa, event, sukan atau apa sahaja akan dikomersilkan tanpa mengira halal dan haram kerana pemimpin sudah terdesak.

Pemuda PAS Gopeng memberi amaran kepada penyokong judi beragama Islam di Malaysia bahawa umat Islam seluruhnya tidak akan selamat sekiranya tergamak ingin terus menambah suntikan wang haram ke dalam pembangunan fiskal negara.

Kenyataan Tun yang ingin memisahkan isu judi dengan agama dan mengekalkan pemikiran sekular benar-benar menuntut untuk Tun bertaubat di penghujung usia kini.

Muhammad Nuruddin Bashah,

Exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan