Muktamar papar kejayaan 20 tahun PAS perintah Kelantan

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 9 Jun:
Sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang bakal berlangsung pada 10 hingga 13 Jun ini, PAS Kelantan akan memaparkan sejarah perjuangan mereka memerintah negeri itu yang kini sudah lebih 20 tahun.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ia berkisar bentuk-bentuk kejayaan yang telah dicapai di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pembaharuan yang dibuat sepanjang mengambil alih pemerintahan negeri daripada Umno BN sejak 1990.

Kerajaan PAS Kelantan, katanya telah membuktikan kemampuan mereka mentadbir sebuah negeri dengan baik (good governance) sehingga beberapa pendekatan mereka dilihat mendahului dan terkedepan berbanding negeri lain.

"PAS Kelantan mendahului, yang lain ikut. Negeri yang miskin, menerima beban hutang daripada zaman Umno dulu tetapi mampu mengurus negeri membuat perubahan seperti negeri lain.

"Kelantan juga mampu menurunkan kadar kemiskinan mengatasi Terengganu dan Sabah yang diperintah Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Kelantan juga, katanya boleh dijadikan bukti bahawa Pakatan Rakyat mampu memerintah negara Malaysia dengan lebih baik berbanding 50 tahun diperintah Umno BN.

Sebagai bukti katanya, pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi yang menjangkakan Malaysia akan bankrap dalam masa sembilan tahun lagi.

"Sebab itu kita yakin kalau Idris Jala kata Malaysia bankrap sembilan tahun lagi, nak selamat kena bagi kat kita (Pakatan Rakyat) sebab kita dah buktikan di Kelantan dan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, itu negeri yang tidak ada hasil banyak.

"Kalau Malaysia diperintah Pakatan Rakyat, rakyat bukan setakat kenyang tapi muntah balik, sebab terlalu kenyang," katanya seloroh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan