Pengawal istana buat laporan dakwa isteri kedua sultan ganggu ketenteraman

KOTA BAHARU, 19 Jun: Seorang pengawal Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini membuat laporan polis terhadap isteri kedua Sultan Kelantan Cik Puan Elia Suhana Ahmad, yang didakwa melakukan gangguan ketenteraman awam di perkarangan Istana ketika cuba melawat suaminya pada 23 Mei lalu.

Pengawal itu, Muhamad Khairul Abdullah, 24, berkata Elia Suhana, 31, didakwa mengganggu ketenteraman awam di istana tersebut walaupun telah dimaklumkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra tidak perkenan bertemu dengan isteri kedua baginda itu dan perkarangan istana itu merupakan kawasan yang “sensitif”.

“Laporan tersebut di buat di Balai Polis Kubang Kerian di sini pada pukul 8.08 malam pada Khamis lalu.

“Saya mengharapkan polis selepas ini dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya dengan serta merta dan seadil-adilnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya Elia Suhana juga membawa beberapa anggota polis dan kakitangan kerajaan negeri bagi tujuan tersebut.

Meskipun Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah di sini membenarkan Elia Suhana melawat suaminya, beliau sekali lagi dihalang daripada memasuki Istana Mahkota untuk menemui baginda pada 23 Mei lepas.

Pada 20 Mei lalu Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Rayuan telah membenarkan Elia Suhana melawat Sultan seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 Feb lepas.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan