PM didakwa beri jawapan bercanggah isu RMK9

Ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini mempertikaikan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa memberikan jawapan bercanggah berhubung status projek bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Katanya, Najib dalam jawapan lisannya di Dewan Rakyat pada April lalu menyebut, sebanyak 705 buah projek berada dalam status Belum Mula.

Jawapan itu adalah bagi soalan yang dikemukakan ahli parlimen Setiawangsa Datuk Zulhasnan Rafique.

Bagaimanapun, dalam jawapan bertulisnya kepada Lim (
kiri), Najib menyebut hanya 11 buah projek yang berstatus Belum Mula bawah RMK9, melibatkan peruntukan sebanyak RM82 juta.

"Macam mana soalan sama tapi jawapan berbeza-beza?," soal Lim dalam sidang media di pusat khidmatnya di Segambut, Kuala Lumpur hari ini.

"Kalau 11 projek sudah berjumlah RM82 juta, kalau 705 projek, berapa jumlah peruntukannya?" soalnya lagi.

Tambahnya, beliau percaya perdana menteri telah mengelirukan Dewan Rakyat dengan jawapan-jawapannya yang didakwa berbeza itu.

Sehubungan itu, Lim berkata, beliau akan menuntut penjelasan berhubung kekeliruan itu pada sesi perbahasan selepas pembentangan RMK10.

"Perkara dalam RMK9 pun belum diselesaikan lagi, macam mana hendak bentangkan RMK10?" soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan