Retreat atau “retreat” MCA?

Markus Lim
Seluruh barisan kepemimpinan tertinggi parti MCA yang turut merangkumi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan senator telah mula berk
ampung di Port Dickson sejak hari Jumaat lalu dalam usaha mereka untuk mencatur strategi baru ke arah mempersiapkan parti tersebut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Disifatkan sebagai perhimpunan terpenting yang bakal menentukan hala tuju MCA untuk tempoh setahun setengah sebelum berlangsungnya perang besar, sesi retreat berkenaan bukanlah retreat sembarangan yang mana emimpin masih boleh mengukir senyuman apatah lagi mengambil mudah cabaran yang dihadapi.

Sebaliknya, barisan kepimpinan parti perlulah menyedari, mengenal pasti dan akhirnya mengambil tindakan-tindakan proaktif yang berupaya membendung kalau tidak pun mengembalikan keyakinan masyarakat Tionghua terhadap mereka.

Beberapa hari lalu, persoalan mengenai tarikh sebenar PRU-13 telah dibangkitkan dan mendapat liputan meluas kebanyakan akhbar arus perdana. Kenyataan Perdana Menteri bahawa tarikh PRU-13 akan 'mengejutkan semua pihak' bukan sahaja tidak membantu mengurangkan kecelaruan dalam diri pemimpin parti MCA bahkan memperhebatkan suspens mereka terhadap kemungkinan peranan MCA menjadi kurang signifikan.

Perhimpunan selama tiga hari dalam bentuk retreat itu berlangsung pada ketika tahap keyakinan masyarakat Tionghua terhadap MCA berada pada paras terburuk dalam sejarah.

Pada kertas, penganjuran retreat itu adalah satu wadah terbaik buat pemimpin MCA untuk duduk semeja berbincang, bertukar pendapat dan mengenal pasti langkah membawa parti berusia enam dekad ke hadapan. Retreat sama membolehkan pemimpin untuk meluahkan isi hati yang terbuku dalam diri mereka agar segala permasalahan dapat ditangani sebelum ia terus membarah.

Penganjuran retreat sedemikian bukanlah baru kerana ia turut dipraktikkan oleh parti politik di merata dunia. Menganjurkan retreat tidaklah sekompleks mana kerana selagi ia mempunyai partisipasi pemimpin dan agenda yang ingin diutarakan ia boleh diteruskan.

Persoalannya, adakah penganjuran retreat itu mampu mencapai objektif yang telah disasarkan? Benarkah tempoh selama tiga hari itu mampu mengubah sikap, pemikiran dan ego pemimpin MCA kepada seorang yang berprinsip dan berintegriti? Ataupun retreat ini hanyalah satu sesi syok sendiri dan menutup mulut pengkritik?

Keikhlasan dan kesungguhan pemimpin parti menjadi kunci utama kepada kejayaan ataupun kegagalan sesi retreat itu. Barisan pemimpin MCA yang menghadirinya perlu bertanya kepada diri sendiri sejauh mana komitmen dan keazaman untuk melihat MCA kembali menjadi sebuah parti disegani.

Pada saat-saat genting inilah, keikhlasan dan kejujuran perjuangan pemimpin ini diuji. Yang setia akan tetap bersama dengan parti untuk meneruskan perjuangan hingga ke titisan terakhir sementara ‘pejuang’ yang mempunyai agenda tersendiri mungkin nekad berubah haluan.

Di masa sama, mereka juga perlu bermuhasabah dan mengimbau kembali kesilapan yang mungkin telah dilakukan sebelum ini dan sentiasa bersedia melakukan perubahan bila keadaan memerlukan. Pucuk kepimpinan MCA yang diketuai Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai sewajarnya menjadikan krisis kepimpinan MCA yang tidak berkesudahan selama ini sebagai satu wake-up untuk tidak mengulangi kembali kesilapan masa lampau.

Jadikan itu iktibar untuk mengukuhkan semula hala tuju dan survival parti. Kegagalan untuk menghayati mesej tersirat di sebalik penolakan masyarakat Tionghua terhadap parti itu pada PRU-12 hanya mengukuhkan pandangan bahawa pemimpin MCA tidak belajar dari kesilapan, pesimis dan tidak kompetan.

Apakah tindakan selanjutnya daripada pucuk pimpinan MCA selepas menerima maklumbalas yang diberikan oleh pemimpin parti dalam sesi retreat itu? Apakah akan ada sebarang tindakan susulan terhadap apa yang dibincangkan ataupun hanya tinggal gajah putih sahaja? Ini yang kita ingin tahu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan