Saiful Apek Lari Dari Wartawan

PETALING JAYA: Akhirnya selepas empat hari ditahan reman, pelakon komedi terkenal, Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff, 41 atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan lima rakannya hari ini dibebaskan dengan jaminan polis.

Proses membebaskan pelakon itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor yang selesai kira-kira pukul 4.20 petang ini.

Bagaimanapun Apek enggan ditemui pemberita sebaliknya lari mengikut pintu belakang balai polis tersebut sebelum menaiki sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam bersama isteri dan dua lagi yang dipercayai saudara maranya.

Sebelum itu ketika menunggu proses berkenaan selesai, isteri Apek iaitu Roslina Abu Hassan kelihatan menangis sambil ditenteramkan oleh sanak saudaranya.

Roslina juga enggan menjawab sebarang soalan pemberita kerana emosinya sedang terganggu akibat kejadian yang menimpa suaminya itu.

Pada Ahad lalu Apek dan lima rakannya ditahan polis dalam satu serbuan di apartmennya di Jalan PJS7 Subang Jaya dekat sini kira-kira pukul 10 malam ketika sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia di antara Argentina dan Nigeria.

Dalam serbuan itu polis menemui 40 gram dipercayai ganja sementara ujian air kencing yang dilakukan ke atas mereka didapati positif dadah.

Kesemua mereka ditahan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 atas sebab pemilikan dadah manakala Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas sebab penggunaan dadah.

Peguam pelawak itu Mohd Fadly Hashim berkata pihak polis mendapat arahan untuk melepaskan Apek dan rakan-rakannya dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan dijalankan.

-mstar-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan