Saya mahu undur seketika - Apek

KUALA LUMPUR: “Saya akan mengundur diri daripada aktiviti seni buat seketika,” kata pelakon komedi popular, Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff, 41, atau Saipul Apek yang dibebaskan dengan jaminan polis Khamis lalu, selepas ditahan bersama lima rakannya atas kesalahan dadah pada 13 Jun lalu.

“Bagaimanapun, pengunduran ini bukan disebabkan kes itu, memang dah lama saya ingin berehat cuma sering tertangguh. Selepas satu masa saya akan kembali,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Apek yang tampil memberi kenyataan buat kali pertama selepas kejadian itu berkata, secara kebetulan dia perlu berbuat demikian kerana mengalami demam dan sakit tekak ketika ini.

“Kebetulan sebelum ditahan saya dah sakit,” katanya artis berasal dari Gombak, Selangor itu.

Dia berkata, sepanjang tempoh berehat itu, dia akan berperang habis-habisan dan membantu kempen anti dadah, alkohol dan penganiayaan.

Selain itu, katanya, dia trauma kerana percaya penahanan itu akibat perbuatan dengki individu tertentu yang ingin melihat kejatuhannya.
Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut terutama mengenai identiti individu berkenaan.

“Dalam tahanan, saya dah kenal siapa diri saya. Saya kenal siapa yang sayang, siapa yang dengki.

“Untuk berhadapan dengan orang awam saya tak risau, sebab saya pentingkan majoriti orang yang menyokong dan bukannya yang bersifat dengki,” katanya yang sudah berlakon lebih 30 filem.

Apek berkata, pengalaman ketika ditahan di penjara sukar untuk digambarkan dengan kata-kata dan suatu yang baru baginya.

Bagaimanapun, dia mengakui polis memberi layanan baik terhadapnya sepanjang ditahan reman.

“Saya terasa seperti VIP dalam tahanan,” katanya yang enggan bercerita mengenai pengalaman ditahan kerana sudah diarah polis berbuat demikian.

Akhbar ini Isnin lalu melaporkan seorang pelawak bersama lima rakannya termasuk seorang wanita ditahan di sebuah apartmen di PJS, Subang Jaya ketika sedang melepas gian.

Serbuan itu turut menemui beberapa peket kecil berisi daun kering dipercayai ganja dianggarkan seberat 40 gram dan siasatan awal berdasarkan kuantiti dadah terbabit ia untuk kegunaan sendiri.

Semua suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian air kencing. Hasil ujian mendapati semua mereka positif ganja serta mereka ditahan reman selama empat hari dan dibebaskan Khamis lalu dengan jaminan polis.

Difahamkan, pelawak terbabit pernah dikaitkan dengan kes sama sebelum ini apabila penyebaran gambarnya menghisap dadah disebarkan melalui Internet dan telefon bimbit, bagaimanapun perbuatan itu dinafikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan