Wanita Pakatan desak tarik balik lesen judi

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 8 Jun:
Wanita Pakatan Rakyat (PR) hari ini mendesak kerajaan menarik balik lesen judi sukan (sports betting) yang diluluskan baru-baru ini.

Desakan itu dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim di pejabatnya di Parlimen.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen sebelum penyerahan itu, Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh menyeru pimpinan Umno BN yang beragama Islam agar kembali kepada ajaran Al-Quran yang secara terang-terangan melarang umat Islam berjudi.

Malah katanya, agama-agama lain juga tidak menggalakkan pengganutnya berjudi kerana ianya memberi banyak impak negatif.

"Kepada pemimpin Umno yang beragama Islam, saya meyeru kepada mereka agar kembali kepada perintah Allah SWT yang melarang perjudian di dalam Al-Quran. Malah kalau tanya agama lain sekalipun, semuanya menolak amalan judi," katanya.

Dalam kenyataan bersama yang dibacakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, wanita PR membantah keras lesen judi sukan itu kerana ia akan mengakibatkan wanita yang menanggung risiko dan mudaratnya.

"Sukan adalah aktiviti yang menyihatkan.Tetapi apabila dicemari dengan judi, ia bertukar menjadi mudarat, tidak menyihatkan dan memburukkan dan meruntuhkan seluruh sistem hidup serta mengancam kesejahteraan institusi keluarga dan kesejahteraan generasi muda," kata kenyataan itu.

Siti Zailah juga berkata, kelulusan lesen judi itu akan membuka ruang kepada amalan rasuah dalam sukan.

"Bila adanya lesen judi ini, atlet-atlet akan disogokkan dengan wang ringgit untuk memenangkan pasukan mereka," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menempelak kenyataan pemimpin kerajaan yang bercanggah antara satu sama lain.

"Kita lihat kenyataan kerajaan bercanggah. Kejap kata lulus, kejap kata sedang dipertimbangkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan