3 perkara wajib bagi Najib-Rosmah

Hishamuddin Rais

Tiga perkara yang wajib dilakukan oleh kerajaan Najib-Rosmah untuk menyelamat harta kekayaan dan kuasa mereka daripada dirampas kembali oleh kuasa orang ramai.

Tiga perkara ini bukan terlalu susah untuk difikirkan. Malah ianya tidak memerlukan bantuan penasihat zionis APCO untuk memunculkan perancangan. Kita sendiri boleh memikirkan tiga pekara ini tanpa memerlukan ijazah PPE dari Oxford. Tahap jaguh kampung dan gedebe politik seperti Ibrahim Ali pun sedar hal ini.

Tiga pekara ini ialah:

1. Anwar Ibrahim mesti di ketepikan;

2. Parti PAS wajib dipisahkan dari Pakatan Rakyat; dan

3. Propaganda untuk menghuru-harakan Parti Keadilan Rakyat wajib diperbesarkan

Ketiga-tiga perkara ini wajib berjalan sarentak. Untuk kerajaan Najib-Rosmah, tiga perkara ini lebih penting daripada dasar ekonomi baru atau model ekonomi baru. Lebih penting dari dasar luar negara. Lebih penting dari Rancangan Malaysia ke-10. Kerana rancangan ini begitu penting sekali, maka kerajaan Najib-Rosmah akan menjanjikan apa saja untuk memastikan tiga pekara ini dapat direalisasikan.

Kerajaan Najib-Rosmah tahu, sedar dan merasakan bahawa susuk Anwar Ibrahim memainkan peranan yang amat penting dalam ikatan setiakawan Pakatan Rakyat. Dengan adanya susuk Anwar maka Pakatan Rakyat dapat berdiri teguh. Mengikut pandangan Najib Rosmah, jika Anwar 'diketepikan' maka Pakatan Rakyat akan londeh terbarai. Sama ada ini hakikat atau sebaliknya bukan penting. Yang penting inilah persepsi politik mereka. Politik bukan kebenaran – politik ialah persepsi.

Apa yang kita lihat hari ini - apa yang sedang berlaku di lanskap politik negara ialah gerak kerja jentera dan apparatcik politik Najib-Rosmah sedang menjalankan tugas untuk meminggirkan Anwar.

Dalam strategi politik, langkah pertama sebelum musuh diserang ialah melahirkan satu imej buruk musuh. Ini penting untuk mengolah persetujuan orang ramai. Ketika perang dunia kedua dahulu, tentera Jepun digambarkan bermata sepet, bergigi jongang membawa pedang samurai. Sesudah perang tamat, Jepun dilihat sebagai kawan dan rakan berniaga yang baik. Memunculkan imej hodoh ini amat penting. Jika imej telah buruk maka apa sahaja yang diperkatakan terhadap Anwar akan diyakini umum.

Strategi baru

Langkah pertama ialah mengaitkan Anwar dengan Saiful. Ini juga bukanlah satu langkah yang bijak bergeliga. Menggunakan kes liwat yang diadukan oleh Saiful, telah diteroka lebih awal lagi oleh Mahathir Mohamad pada 1998 dahulu melalui kes seumpamanya terhadap Azizan Abu Bakar.

Apabila Saiful diberitakan tidak membuang air besar selama dua hari kerana menyimpan bahan bukti di dalam duburnya, maka tahap jenaka dan genre lawak Melayu telah melonjak tinggi. Rating Lebai Malang dan Pak Pandir berkemungkinan jatuh. Apek Senario telah menjadi lawak basi. Lubang Saiful naik ke mercu kegemilangan.

Seperti kes Azizan, kes liwat Saiful juga telah tergelincir. Kelihatan propaganda berbentuk ini telah menjelak dan menjelikkan orang ramai. Ini mula disedari oleh Najib-Rosmah. Propaganda kes Saiful yang dirancang untuk memburukan Anwar telah menjadi lawak bodoh dan sedang melawan tuan.

Dengan cepat para apparatcik dan jentera Najib-Rosmah bergerak. Kali ini wajib dimunculkan satu lagi strategi baru – ejen asing. Harus disedari bahawa surah - ejen asing - ini juga telah mula muncul pada 1998. Ketika itu duta Amerika ke Malaysia ialah John R Malot.

Dalam kes pertama tahun 1998, memang telah disebarkan surah bahawa Anwar Ibrahim ini adalah ejen CIA. Apabila berita ini tersebar, kerajaan Amerika telah mengambil langkah yang tepat.

Menurut Pak Duta John R Malot - kerajaan Malaysia telah diberi amaran - jangan campur adukkan kerajaan Amerika dengan krisis dalaman politik Malaysia. Bila amaran ini sampai, maka surah Anwar ejen Amerika pun mati tak berasap.

Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan