BN telah menghabiskan sumber negara secara melampau

Taf4

Selepas kemelut ekonomi pada tahun 1998, Perdana Menteri pada ketika itu, Mahathir Mohamad melaksanakan langkah seperti "capital control" (kawalan modal) dan sebagainya. Tetapi, apakah harga yang kita bayar? Jawapannya boleh dibaca dari kenyataan Idris Jala, defisit negara telah bertambah dari RM5 bilion pada tahun 1998, kepada RM47 bilion pada tahun 2009. Hutang negara kita pula meningkat daripada RM90 bilion pada tahun 1997 kepada RM 362 bilion pada tahun 2009

Seandainya dihitung mengikut populasi yang mencecah 27.5 juta orang, maka secara puratanya setiap warga Malaysia memikul beban hutang sebanyak RM13,164 seorang. Dengan kata lain, kerajaan kita menjadikan daya produk rakyat pada masa depan sebagai "jaminan", untuk meminjam hutang dari negara asing melalui bon kerajaan, yang akhirnya menjurus kepada lambakan hutang. Akibatnya, kerajaan dengan sewenang-wenangnya menggunakan wang masa depan rakyat, yang wujud dalam bentuk "pinjaman hutang" pada masa sekarang. Kini, Najib pula menasihatkan rakyat bahawa subsidi akan dikurangkan, ubahlah cara hidup kamu!

Pada hakikatnya, beliau harus lebih jujur untuk mendedahkan kepada rakyat: perbelanjaan yang ditampung dengan defisit oleh kerajaan telah dihabiskan melalui projek mega sejak zaman Mahathir. Wang masa depan yang dimiliki rakyat, kebanyakannya bukan digunakan sebagai subsidi, tetapi untuk men-subsidi kroni yang menyembunyi di sebalik projek gajah putih.

Kita semuanya tahu bahawa sumber ada hadnya. Gerombolan BN telah menghabiskan sumber negara secara melampau, dan penipuan ini bakal terburai pada suatu hari nanti. Dalam zaman ekonomi yang tidak menentu, lebih banyak buih yang bakal berpecah. Kumpulan berkepentingan yang berada di gelanggang mula gelisah, kerana mereka mungkin kehilangan segala-galanya sebaik sahaja permainan ini tamat.

Akhirnya, cukaikan rakyat secara langsung dengan mengurangkan subsidi kepada pelbagai keperluan asas. Polisi monetari yang sekian lama ini kekal pada kadar faedah rendah, dinaikkan baru-baru ini, menyebabkan harga barang melambung tinggi. Kadar faedah simpanan lebih rendah daripada kadar inflasi sebenarnya. Maksudnya, nilai "wang simpanan ditambah faedah" menjadi kurang berikutan kadar inflasi yang lebih tinggi. Maka, ia seolah-olah cukai yang dikenakan ke atas rakyat jelata, atau dengan kata lain, yang miskin men-subsidi yang kaya.

Selain itu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilewatkan pelaksanaannya, bakal mencekik lebih ketat leher rakyat. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh UMNO sebagai pengagihan yang adil, apabila kerajaan mengagihkan "faedah pinjaman" yang telah dibelanjakan sewenang-wenangnya kepada rakyat jelata tanpa mengira kaum dan kelas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan