Ketua Menteri: Putrajaya lindungi 'Little Napoleon'

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata beliau menerima dengan baik teguran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kecamannya terhadap Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang Nik Ali Mat Yunus, lapor Bernama.

"Saya terima mesej dari Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri...saya ucap terima kasih atas mesej tersebut," katanya selepas merasmikan Hari Keluarga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Georgetown hari ini.

Perdana Menteri dalam kenyataan semalam berkata kabinet tidak dapat menerima tindakan Lim yang membuat kenyataan hingga menjatuhkan maruah seorang pegawai persekutuan.

Najib berkata, Lim sebagai ketua menteri seharusnya membuat teguran berhemah dan secara tertutup.

Bohong

Dalam pada itu, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang membidas Nik Ali yang disifatkan oleh setiausahanya, Ng Wei Aik sebagai bercakap bohong.

Ng sehubungan itu juga menafikan ketua menteri Pulau Pinang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Nik Ali (kiri) ketika majlis pelancaran projek Keretapi Bukit Bendera dan menyangkal kerajaan negeri tidak menyediakan tempat duduk untuknya pada majlis berkenaan.

“Sehingga kini, ketua menteri Pulau Pinang tidak pernah membuat sebarang komen terhadap perkara tersebut yang telah dibangkitkan oleh Nik Ali. Tidak pernah terlantas dalam fikiran ketua menteri untuk mengeluarkan kata-kata kesat walaupun diberi layanan yang kurang sewajarnya oleh Pejabat Pembangunan Negeri,” katanya.

Menurut Ng (
kanan), Nik Ali merupakan seorang 'Little Napoleon' yang kurang ajar yang sanggup “berperang dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan tindakannya telah direstui oleh ketua setiausaha negara dan pemimpin-pemimpin Umno, temasuk timbalan perdana menteri.

“Adakah ini bermaksud bahawa Nik Ali, termasuk kakitangan-kakitangan awam yang lain turut boleh mengkritik atau berperang dengan menteri-menteri Umno atau BN, termasuk ketua menteri atau menteri besar bagi negeri-negeri yang diterajui oleh BN?”

Katanya, Nik Ali telah membelakangkan sikap profesional dan berkecuali yang terpakai ke atas kakitangan-kakitangan awam.

“BN pasti akan menerima padah ekoran kakitangan-kakitangan awam yang lain turut memberontak jikalau tiada tindakan tegas diambil terhadap Nik Ali dengan serta-merta,” katanya lagi.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan