Hubungan Turki, AS meruncing

ISTANBUL: Hubungan dua hala di antara Turki dan Amerika Syarikat dilaporkan semakin meruncing, menurut pendedahan media Turki sejak beberapa hari lalu.

Ketegangan memuncak di antara kedua-dua anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) itu selepas wujud perbezaan pendapat mengenai insiden serangan tentera rejim ke atas konvoi Freedom Flotilla ke Gaza.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam AS kerana tidak mengambil tindakan yang sepatutnya berhubung kematian rakyat Amerika berdarah Turki, Furkan Dogan, 19, yang ditembak mati oleh tentera Israel semasa serangan ganas rejim itu ke atas konvoi tersebut.

"Nampak jelas bahawa pentadbiran AS tidak mengambil apa-apa tindakan berhubung Furkan. Adakah mereka tidak mempertahankan hak Furkan kerana dia berdarah Turki?," katanya.

Duta AS di Turki, James Jeffrey, dalam kenyataan balasnya berkata, kerajaan AS mengambil berat berhubung kes Furkan dan kesal dengan kenyataan Erdogan itu.

"Jika laporan media itu adalah benar, maka kami merasakan kenyataan itu sangat mengecewakan dan membimbangkan," katanya.

Jeffrey juga menuduh Turki tidak bekerjasama dalam menjalankan penyiasatan berhubung kematian Furkan kerana didakwa mengambil masa yang lama sebelum menyerahkan laporan bedah siasat kepada kerajaan AS.

Kemerosotan hubungan dua negara itu mula dilaporkan sejurus pertemuan Presiden AS, Barack Obama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington, minggu lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan