KUANTAN: Nasib seorang ibu tunggal dari Kampung Kubang Buaya di sini, tidak ubah seperti kisah ibu Si Tanggang apabila dia bukan saja dimaki-hamun anak kandung, malah turut dihalau insan yang dilahirkannya.
BUKTI...Zaiton menunjukkan laporan polis dibuat terhadap anak sulungnya.
Lebih menyedihkan apabila anak yang pernah ditatang bagai minyak yang penuh satu ketika dulu, sanggup memanggilnya dengan gelaran babi, malah tidak mengaku lahir daripada rahim ibunya.
Ibu tunggal malang itu, Zaiton Jaafar, 57, mendakwa anak sulungnya yang dahulunya baik mula berubah sikap sejak suaminya meninggal dunia hampir 19 tahun lalu.
“Saya isteri ketiga kepada arwah suami dan mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup, namun anak perempuan saya yang juga anak kedua meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam otak kira-kira tujuh tahun selepas kematian suami.
“Saya berkahwin lain setahun selepas kematian suami dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 17 tahun,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, suami keduanya menghilangkan diri kira-kira 16 tahun lalu dan sejak itu dia tinggal bersama anak lelaki sulung (hasil perkongsian hidup dengan suami pertama) yang berusia 32 tahun serta anak ketiga (dengan suami kedua) di rumah peninggalan suami pertamanya.
“Rumah itu dulunya atas nama syarikat milik arwah suami kemudian ditukar hak kepada anak sulung saya sebelum dia berkahwin dengan seorang kerani bank kira-kira 10 tahun lalu.
“Sejak tinggal berasingan dia tidak pernah menjenguk saya sehinggalah dia ingin berkahwin lain kira-kira empat tahun lalu,” katanya yang bekerja sebagai tukang sapu.
Zaiton berkata, sebelum sambutan Aidilfitri tahun lalu, anak sulung bersama isterinya pulang ke rumah kononnya mahu meminta ampun dan mengajaknya tinggal bersama di Kuala Lumpur.
“Namun, ketika tinggal bersamanya di sana, saya sering dimaki-hamun walaupun hanya melakukan kesalahan kecil menyebabkan saya kembali ke rumah asal.
“Derita saya tidak berakhir di situ apabila dia dan isterinya pulang ke rumah yang saya diami sekarang dan berkeras mahu menjual rumah berkenaan,” katanya.
Kemuncaknya, Zaiton mendakwa, anak sulungnya itu pernah menolaknya sehingga terjatuh dan menghalaunya keluar, malah anak ketiganya turut menjadi mangsa amarah lelaki berkenaan.
“Dia turut memanggil saya dengan gelaran babi dan pernah tidak mengaku lahir daripada rahim saya selain menyorok makanan di rumah supaya saya tidak dapat makan. Malah, isterinya turut membaling selipar ke arah saya, baru-baru ini.
“Walaupun dihalau keluar, saya tetap tidak meninggalkan rumah berkenaan kerana tiada tempat lain untuk dituju namun berikutan bimbang keselamatan diri, saya membuat laporan polis,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, Isnin, lalu.
Menurut Zaiton, dia bimbang anak sulungnya itu menjual rumah yang didiaminya sekarang. Jika keadaan itu berlaku, dia pasti buntu mengenangkan nasibnya dan anak bongsu kerana mereka akan kehilangan tempat tinggal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan