Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melahirkan kebimbangan di atas jumlah 257,000 sijil kelahiran dari tahun 2000 hingga Julai 2008 yang tidak mencatatkan nama bapa. Merujuk kepada titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang menyebut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari. Dalam ucapan baginda turut menyebut, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.
DPPWP merasa terpanggil untuk turut sama berkongsi rasa bimbang dan kecewa di atas peningkatan jumlah anak luar nikah ini. DPPWP berpandangan, kes kelahiran anak luar nikah ini berpunca dari pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang keterlaluan. Budaya hedonismedan candu hiburan, berpeleseran, bersekududukan, mengunjungi pusat-pusat hiburan adalah faktor penyumbang kepada terjebaknya remaja kepada aktiviti perzinaan. DPPWP mempersoalkan mengapakah dalam keadaan kes kelahiran dan pembuangan bayi semakin meningkat ini, kerajaan membenarkan pusat-pusat hiburan beroperasi tanpa kawalan. Di dalam pusat-pusat hiburan inilah pelbagai aktiviti maksiat berlaku seperti percampuran bebas lelaki dan perempuan, arak, dadah, dan pelacuran.
Selain itu, penganjuran konsert-konsert hiburan yang terlalu banyak menyumbang kepada gejala kelahiran anak luar nikah. Mengapakah kerajaan sanggup membenarkan penganjuran konsert berlangsung tanpa kawalan yang ketat. Apakah kerajaan mampu menjamin keselamatan anak-anak gadis dari dinodai dan digoda oleh remaja-remaja lelaki sebaya dengannya. Apakah kerajaan mampu memantau setiap pergerakan remaja dan kemana mereka pergi setelah tamat menonton konsert.
Tambahan pula, dengan ledakan maklumat melalui internet dan telefon bimbit yang tiada had meloloskan segala kemungkaran dengan mudah untuk diakses. DPPWP bimbang kemungkaran dan maksiat sangat mudah diperolehi melalui internet dan telefon bimbit sehingga ke setiap rumah di Malaysia.
DPPWP juga berpendapat, penekanan terhadap tarbiyah dan pendidikan agama yang longgar menyemarakkan lagi faktor kelahiran anak luar nikah. Sistem pendidikan negara hari ini gagal membentuk peribadi dan syakhsiyah remaja untuk menjadi muslim yang soleh dan solehah. Bagaimana kita boleh mengharapkan generasi akan datang menjadi insan yang baik dan bebas dari maksiat sedangkan generasi yang lahir pada hari ini ramai lagi yang jahil dan buta agama?
Justeru DPPWP mengharapkan semua pihak memainkan peranan dalam memastikan angka kelahiran anak luar nikah dapat dibendung. Kerajaan perlu membendung gejala maksiat hingga ke akar umbi. Jangan benarkan lagi pusat-pusat hiburan beroperasi dalam negara walau apa alasan sekalipun. Selain itu, konsert-konsert hiburan yang lagha dan melalaikan tidak wajar diadakan sama sekali walau di mana pun. Kerajaan juga perlu melakukan sesuatu dalam menyekat penyebaran maksiat melalui internet dan telefon bimbit. Penekan tarbiyah dan pendidikan agama sangat penting bagi memastikan pelajar-pelajar tahu hukum halal dan haram serta segala aspek yang berkaitan denganruhiyyah.
Ibu bapa pula perlu berperanan dalam memastikan pendidikan dan pergaulan anak-anak terjaga. Membiarkan anak-anak bergaul bebas tanpa kawalan merupakan satu kesilapan besar ibu bapa. Ibu bapa juga diharapkan dapat memastikan aurat anak-anak remaja khususnya wanita dijaga sebaik mungkin.
Akhir sekali, DPPWP turut mengharapkan masyarakat turut bersama memainkan peranan dalam memastikan gejala zina dapat dihentikan. Institusi masjid, pusat komuniti, kempen kesedaran, kumpulan pencegah maksiat, kem-kem motivasi adalah usaha yang baik bagi membantu membendung budaya zina dan kelahiran anak luar nikah dari berleluasa.
Disediakan oleh;
FADHIL OSMAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan