Judi: Pemuda PAS berkonvoi ke puncak Genting

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 Julai:
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sedang membuat persiapan bagi menganjurkan "Konvoi 10 ribu Rakyat, Didik dan Dakwah Tak Nak Judi" ke puncak Genting Highlands.

Menurut ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi, program tersebut dijadual pertengahan Syawal depan selepas umat Islam selesai menjalani ibadah puasa Ramadhan.

"Kita mahu capai objektif utama iaitu mahu menyemarakkan Kempen Tak Nak Judi dan mahu mengimarahkan puncak Genting dengan solat hajat dan kalimah Allah setelah sekian lama gersang," katanya ketika dihubungi.

Antara lain, pada program julung kali diadakan itu juga akan mengedarkan risalah dakwah bagi menyedarkan orang ramai berkenaan bahana judi dan kesannya kepada masyarakat.

Walaubagaimanapun, program tersebut hanya akan diteruskan sekiranya mendapat sokongan dari rakyat dengan berjaya mengumpul 10 ribu penyertaan.

Sehubungan itu, DPPP katanya akan membuka pendaftaran kepada rakyat yang prihatin yang mahu menolak judi.

"Tak cukup 10 ribu, kami tak akan buat sebab kita takut tidak berkesan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan