Judi sukan sebabkan Umno-MCA bermasalah

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak berpuas hati dengan Presiden UMNO yang juga sebagai Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Tun Abdul Razak dalam isu pembatalan kebenaran lesen judi sukan.

Beliau sangat kuatir keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno akan menjadi satu 'precedent' kes yang merbahaya. Sepatutnya keputusan tersebut dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri bukannya Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Menteri-menteri yang telah dilantik tidak boleh menyuarakan pandangan masing-masing sedangkan sebelum ini MCA, MIC, PPP dan LDP bersama-sama mempertahankan Perdana Menteri dalam isu ini. Keputusan ini boleh menimbulkan tanggapan bahawa parti komponen BN yang lain adalah di bawah telunjuk Umno.

“Kami berasa kecewa...Ia sepatutnya diputuskan pada peringkat kabinet, supaya semua pihak komponen dapat memberikan pandangan mereka,” kata Chua pada sesi wawancara khas dengan beberapa media terpilih di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur.

Presiden UMNO pada pada 25 Jun lalu, telah mengumumkan bahawa majlis tertinggi Umno sebulat suara menolak cadangan memberi lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd yang dimiliki oleh jutawan Tan Sri Vincent Tan.

Apa yang berlaku ini membuktikan sudah wujudnya perselisihan faham antara Presiden UMNO dengan Presiden MCA dan mungkin juga MIC, PPP dan LDP. Walaupun mereka dalam kumpulan yang sama iaitu Barisan Nasional (BN) tetapi mereka berbalah sesama sendiri.

Maka benarlah Allah menyatakan dalam Al-Quran bahawa judi akan membawa manusia kepada pergaduhan. Peringkat pergaduhan sekarang adalah peringkat tertinggi dalam negara. Jika menteri pun boleh bergaduh atas isu judi, cuba kita bayangkan bagaimana penagih judi, keluarga dan masyarakat mereka.

Pergaduhan ini sangat merugikan negara. Malangnya kerajaan berbangga menggunakan cukai hasil judi untuk pembangunan negara walaupun di sana ada rakyat yang tertindas akibat daripada judi. Allah berfirman dalam surah Al- Maaidah Ayat 91:

“ Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Nevada adalah sebuah negeri di Amerika Syarikat yang paling giat melaksanakan kegiatan perjudian. Mempunyai lebih daripada 266 kasino. Salah satu bandarayanya yang terkenal adalah Las Vegas.

Dalam satu pendedahan yang dilakukan oleh SPG Foundation mendapati Nevada adalah negeri yang paling tidak selamat di Amerika Syarikat. Negeri ini jugak mempunyai kadar bunuh diri, penceraian, pelacuran, pembunuhan dan ketagihan judi yang cukup tinggi.

Pada Mei 2010 laporan yang dikeluarkan oleh United States Department of Labor menyebut bahawa Nevada mempunyai kadar pengangguran yang paling tinggi di Amerika Syarikat iaitu sebanyak 14%.

Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.

Peristiwa, kajian dan kenyataan Al-Quran telah membuktikan bahawa judi menjadi punca kepada kerutuhan masyarakat dan negara.

Apalah guna kita mencari harta siang dan malam dengan penuh gigih setiap hari tetapi akhirnya keuntungan usaha kita itu diserahkan kepada bookie atau syarikat judi. Yang cerdik adalah syarikat judi.

Yang tertindas dan yang malang adalah penagih judi. Judi tidak memberi kesenangan kepada penagih judi sebaliknya judi hanya akan mengkayakan syarikat judi sahaja. Masa belum terlambat lagi, marilah kita mulakan hidup baru tanpa judi. Marilah kita katakan tak nak kepada judi.”Kami Tak Nak Judi”

Suhaizan Bin Kayat,
Setiausaha,
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan