Kerana pasir Umno Selangor pecah?

Persaingan di kalangan pemimpin Umno Selangor dalam mengutarakan isu pasir kini dilihat semakin ketara, terutama di antara kem penyokong Datuk Seri Khir Toyo dan Datuk Noh Omar.

Kedua-dua pihak dilihat saling ke hadapan dalam mengutarakan isu kecurian pasir yang kian membelenggu pentadbiran Selangor di bawah Pakatan Rakyat, namun usaha ini berlangsung secara berasingan dan tidak secara bersepadu.

Pada 11 Julai lalu, Khir yang juga ketua pembangkang DUN Selangor, bertindak membawa media ke kawasan melombong pasir di kawasan Kampung Bukit Changgang di daerah Dengkil.

Kemudiannya, pada 14 Julai pula, Noh pula memberi kenyataan kepada media selepas meninjau aktiviti pengeluaran pasir, dengan menaiki helikopter di sekitar Dengkil, Kuala Langat dan Batang Berjuntai.

Khir, pada malam semalam pula bertindak membawa beberapa orang penulis blog untuk meninjau satu kawasan perlombongan pasir di Kuala Selangor sehingga jam 1 pagi.

Kalangan penulis blog pro-Umno ini dikatakan tidak begitu menyukai Noh - yang juga timbalan ketua perhubungan Umno Selangor - yang pernah mencemuh golongan blogger sebagai kumpulan "musang berbulu ayam."

Ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini, Khir bagaimanapun menafikan wujudnya persaingan antara mereka dan menyifatkan hubungan mereka kini dalam keadaan baik.

'Membesar bersama'

"Saya membesar sekali dengan beliau di satu kampung. Takkanlah kami hendak bergaduh.

"Saya sebagai pemimpin di peringkat negeri, Datuk Noh di peringkat persekutuan. Apabila dia pun (jalankan usaha sama), ini seolah-oleh memberi sokongan kepada usaha kita," jelasnya.

Persaingan antara kedua pemimpin ini mula dilihat susulan daripada cadangan untuk membolehkan jawatan pengerusi perhubungan Umno di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat diserahkan semula kepada pemimpin tempatan.

Jawatan pengerusi perhubungan Umno akan melayakkan penyandangnya dilantik sebagai menteri besar, sekiranya parti tersebut kembali menguasai negeri berkenaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Cadangan itu disuarakan seorang naib presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi - dengan tujuan memulihkan kembali kekuatan parti di Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Pada masa ini, jawatan tersebut disandang oleh pemimpin tertinggi Umno. Di Selangor, jawatan tersebut dipegang presidennya sendiri, Datuk Seri Najib Razak, Terengganu (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), Pulau Pinang (Ahmad Zahid), Kedah (Datuk Shafie Apdal) dan Wilayah Persekutuan (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

Khir bagaimanapun menegaskan, Umno Selangor menyokong Najib sepenuhnya sebagai ketua Umno Selangor dan aturan tersebut tidak seharusnya ditukar.

"Di negeri lain saya tidak tahulah, tapi Selangor menyokong sepenuhnya Datuk Najib sebagai pengerusi perhubungan.

"(Najib) menjalankan tugas dengan baik. Umno Selangor selesa dengan (aturan) ini dan kita minta Datuk Najib kekalkan," katanya yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar.

Tambahnya, beliau bagaimanapun menyerahkan kepada keputusan majlis tertinggi Umno yang bermesyuarat petang ini sama ada untuk memutuskan sebaliknya.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan