Kerat subsidi rakyat, bayar kroni RM222.58 juta

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 29 Julai:
Tindakan kerajaan mengarahkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membuat pembayaran RM222.58 juta kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) membuktikan lagi bahawa kepentingan kroni lebih diutamakan berbanding rakyat, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Bernama melaporkan, semasa membuat keputusan itu, kerajaan melalui kenyataan Kementerian Pengangkutan mendakwa telah mengambil kira semua faktor berkaitan termasuk komitmen kerajaan kepada pemegang bon, serta tanggung jawab LPK di bawah perjanjian yang telah ditandatangani.

Salahuddin mempersoalkan, adakah ia merupakan tanggungjawab Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) atau tanggungjawab KDSB.

Beliau merujuk kepada laporan mengenai jaminan KDSB bahawa sebarang kekurangan dalam pembayaran semula bon adalah tanggungjawab syarikat tujuan khas itu dan wang rakyat tidak akan digunakan untuk membayarnya.

"Kerajaan perlu menjelaskan, tanggungjawab siapa untuk menanggung bebanan ini? Tanggungjawab rakyat atau KDSB?

"Kalau untuk rakyat, subsidi direntap, dikerat. Kalau untuk kroni, adakah kerajaan senang-senang belanjakan RM222.58 juta walaupun ahli lembaga LPK memutuskan tidak mahu membuat pembayaran tersebut," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, tindakan kerajaan itu menguatkan lagi ingatan rakyat kepada dakwaan salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker bahawa ramai tokoh Umno dan MCA yang menerima wang dari Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tiong juga adalah Ahli Parlimen Bintulu dan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).

"Sebelum ini beria-ia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Idris Jala kata subsidi berterusan akan menyebabkan negara ini bankrap sembilan tahun lagi, tetapi pada masa yang sama kerajaan semakin kelihatan membelanjakan wang rakyat dengan sesuka hati," kata Salahuddin lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan